Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara menutup kempen Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 Tahun (B-21), Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 dengan penuh bergaya apabila menewaskan New Zealand 5-3 untuk menamatkan saingan di tempat kelima, hari ini.
Dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Taman Daya itu, Young Tigers mempamerkan corak permainan bertenaga sejak wisel pertama dibunyikan, bagi mengulangi dominasi ke atas lawan sama yang pernah ditewaskan 4-2 pada peringkat ‘round robin’ sebelum ini.
Malaysia bermula garang apabila Muhammad Harris Iskandar Osman meledak gol pembukaan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti yang cukup kemas, sebelum Muhammad Haziq Zunnurain Mohd Azhary menambah jaringan pada minit ke-10 hasil gerakan padang menarik untuk menjadikan kedudukan 2-0, yang kekal hingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, New Zealand cuba bangkit dengan memperkemas serangan dan akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Bradley Rothwell pada minit ke-32.
Namun skuad muda negara pantas bangkit apabila Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menyempurnakan pukulan penalti stroke pada minit ke-44 untuk mengembalikan kelebihan dua gol.
Tiga minit selepas itu, Malaysia terus melebarkan kedudukan apabila Azimuddin Shakir Kamaruddin meledak gol keempat melalui pukulan sudut penalti yang tersusun rapi.
New Zealand cuba bangkit mencabar dengan dua gol pantas hasil gol padang Jordan Whittleston pada minit ke-56 dan Dean Clarkson (m-60) pukulan sudut penalti.
Ketika perlawanan menuju penghujung, Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Malaysia hasil gol padang sekali gus menoktahkan kemenangan bergaya buat skuad Young Tigers.
Bagi ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, keputusan hari ini menjadi bukti peningkatan prestasi pasukan dan pemain muda negara sepanjang enam perlawanan di Johor.
Nor Saiful mengakui bahawa pada perlawanan hari ini, anak buahnya memperolehi banyak peluang menerusi pukulan sudut penalti tetapi hanya berjaya menyudahkan dua daripadanya.
“Pada saya, ini satu perkara positif untuk pemain. Mereka menunjukkan peningkatan dari segi permainan sejak perlawanan pertama hingga perlawanan terakhir, dan ia menjanjikan saingan lebih baik di Piala Dunia nanti.
“Memang betul kita memperoleh banyak pukulan sudut penalti dalam perlawanan ini. Kami juga melakukan analisis video untuk mengenal pasti kelemahan pasukan New Zealand, dan hasilnya kami berjaya memanfaatkannya untuk menjaringkan dua gol daripada situasi itu,” katanya.
Tambah Nor Saiful, skuadnya akan meneliti semula setiap kelemahan dalam tempoh sebulan sebelum berangkat ke India bagi memastikan persiapan lebih mantap di pentas dunia.
“Kita akan kaji semula segala kelemahan yang dikenal pasti dan perbaiki aspek-aspek yang masih kurang. Banyak perkara kami pelajari sepanjang enam perlawanan di sini.
“Berdasarkan keseluruhan prestasi, saya yakin kita boleh kembali dengan corak permainan yang lebih baik dan lebih tersusun di Piala Dunia nanti,” ujarnya.
Walaupun penamat di tempat kelima bukanlah seperti mana sasaran awal namun pengalaman berdepan pasukan-pasukan berkualiti di SOJC 2025 memberi satu pengajaran berguna menjelang persiapan menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2025 yang bakal berlangsung di Chennai dan Madurai, India dari 28 November hingga 10 Disember nanti.









