Skuad Hoki Remaja Wanita Kebangsaan bersiap sedia memulakan misi penting membentuk pasukan terbaik di siri Jelajah China yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 11 November 2025, sebagai persediaan menghadapi Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2025.
Seramai 21 pemain bersama tujuh pegawai akan menyertai jelajah tersebut yang menjadi medan penting untuk menguji tahap kesiapsiagaan pasukan sebelum menghadapi kejohanan di Santiago, Chile.
Sepanjang berada di sana, skuad remaja negara kendalian jurulatih Lailin Abu Hassan akan mengharungi tujuh perlawanan persahabatan menentang pasukan yang sama, iaitu Jiangsu Junior di mana ia juga merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan menjelang Piala Dunia Hoki Remaja Wanita 2025 yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 13 Disember 2025.
Terdahulu, anak buah Lailin mencipta sejarah apabila layak ke Piala Dunia secara merit buat kali pertama selepas menamatkan saingan Piala Remaja Wanita Asia 2024 di tangga kelima. Ia satu pencapaian membanggakan buat skuad muda negara untuk tampil di pentas dunia secara merit.
Pasukan negara kali ini turut diperkuat dengan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu, terdiri daripada tujuh pemain kebangsaan serta 14 pemain yang pernah beraksi dalam Kejohanan Remaja Asia 2024.
Lailin menjelaskan siri Jelajah China ini amat penting buat pasukan kendaliannya dalam membentuk pasukan terbaik sebelum mengharungi Piala Dunia Remaja Wanita di Chile.
Tambahnya lagi, siri jelajah ini juga memberi peluang kepadanya menilai tahap kecergasan para pemainnya selepas mereka menamatkan saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 sebagai juara kategori Wanita buat kali kedua berturut-turut.
“Perlawanan persahabatan seperti ini amat penting kerana ia bukan sekadar memberi pendedahan antarabangsa, malah berperanan besar dalam menilai sejauh mana keberkesanan sistem permainan serta tahap disiplin taktikal yang diterapkan sepanjang latihan.
“Ia juga akan menjadi peluang untuk pasukan menilai tahap kecergasan dan ketahanan mental setiap pemain, selain menguji keserasian mereka di pelbagai posisi di atas padang.
“Melalui perlawanan seperti ini, kita dapat mengenal pasti aspek-aspek yang masih perlu diperbaiki sebelum menghadapi cabaran sebenar di Santiago nanti. Ia juga memberi gambaran jelas tentang sejauh mana pemain mampu mengekalkan rentak permainan apabila berdepan tekanan antarabangsa,” katanya.
Jelas Lailin, beliau mahu melihat prestasi sebenar setiap pemain, khususnya dari segi keyakinan dan konsistensi dalam melaksanakan tugasan yang diberikan ketika beraksi di bawah situasi berintensiti tinggi.
“Perlawanan di China ini bukan sekadar ujian taktikal, tetapi juga ujian mental. Saya mahu melihat bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan tekanan serta kemampuan mengekalkan fokus sepanjang 60 minit permainan,” jelasnya.
Berikut merupakan senarai pemain yang akan mengikuti Siri Jelajah Persahabatan di Jiangsu China, menentang pasukan Jiangsu Junior.
| NO | NAMA |
| 1 | SAZANIANE SABINUS |
| 2 | NUR AFIQA ILYANA BINTI MOHD ZAHARIL |
| 3 | NUR AISYAH BINTI CHE MUSA |
| 4 | ZAWIATUL AKMA BINTI HARTOMO |
| 5 | NOOR ASYIQIN SYAKIRAH BINTI NOOR HISHAM |
| 6 | AZMYRA MIA SOFEA BINTI AZHAIRY |
| 7 | NUR SHAMINE AZUREEN BINTI MOHAMMED BADUSHA |
| 8 | NUR IMAN ADAWIYAH BINTI MOHD SUHAIMI |
| 9 | SITI NUR IRDINA BINTI MOHD NOR |
| 10 | IRMA NURIZZATI BATRISYIA BINTI ARIEF AMRON |
| 11 | NURDINI BATRISYIA BINTI RIDZUAN |
| 12 | NURATHIRAH FITRIAH BINTI SYAMSUL ADZUANIZAM |
| 13 | NUR SYAHIRAH BINTI AZWAN |
| 14 | NOR ZULAIKHA NAZIHAH BINTI TAMJIT |
| 15 | ZATI ALYANI BINTI MUHAMAD ZUBIR |
| 16 | NUR ZARIEFAH DANIA BINTI MAZLAN |
| 17 | NURHANIE NAJWA BINTI TARMIZI |
| 18 | NUR ZUHA QISTINA BINTI RIDZUAN |
| 19 | NUR AINA LIYANA BINTI ZULKIFLI |
| 20 | ROHAIZATUL ALISHA BINTI RAZNI |
| 21 | NURUL SHAHILA BINTI MOHD KHAIRUDIN |
Berikut merupakan barisan kejurulatihan dan pengurusan yang akan bersama di Siri Jelajah Persahabatan di Jiangsu China.
| NO | NAMA | JAWATAN |
| 1 | MOHD SAIYUTI BIN ABD SAMAT | PENGURUS PASUKAN |
| 2 | LAILIN BIN ABU HASSAN | KETUA JURULATIH |
| 3 | NURAINI BINTI ABDUL RASHID | PENOLONG PENGURUS PASUKAN |
| 4 | MOHAMAD SABRI BIN MOHAMAD | PENOLONG KETUA JURULATIH |
| 5 | SAW WENG ONN | JURULATIH KECERGASAN |
| 6 | MAHIRAH BINTI IBRAHIM | FISIO |









