Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan masih berpeluang menebus maruah dengan meraih kemenangan apabila bakal membuat perhitungan penentuan tempat ketiga dan keempat menentang New Zealand esok, meskipun tewas 3-4 kepada Korea Selatan pada aksi terakhir pusingan round robin Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025, hari ini.
Malaysia dijadual bertemu New Zealand yang menamatkan aksi pusingan round robin di tempat ketiga pada pukul 6.15 petang, manakala perlawanan akhir edisi ke-31 menemukan Belgium pasukan tunggal dengan rekod tanpa kalah (13 mata) menentang India yang berada di kedudukan kedua (12 mata).
Pada aksi di Stadium Sultan Azlan Shah, tuan rumah dikejutkan dengan tiga gol awal Korea Selatan pada minit ke-4, ke-5 dan ke-47 menerusi jaringan padang Oh Seyong dan Park Cheoleon sebelum Yang Jihun menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Namun, kebangkitan luar biasa dipamerkan Malaysia pada suku keempat permainan apabila Faisal Saari merapatkan jurang pada minit ke-54, disusuli dua jaringan pantas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-55 dan ke-58 untuk mengikat kedudukan 3-3.
Ketika aksi tampak berakhir dengan keputusan seri, Korea Selatan dihadiahkan pukulan sudut penalti pada saat-saat akhir dan Kim Hyeonhong tidak mensia-siakan peluang itu untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya.
Ketua Jurulatih Kebangsaan, Sarjit Singh memuji semangat juang dan kebangkitan yang cuba dilakukan anak buahnya namun pertahanan yang goyah telah menghukum pasukan.
Bagaimanapun, Sarjit berharap para pemain dapat bangkit pada aksi berdepan New Zealand dan mencipta lebih banyak peluang serta penyudah yang lebih tajam.
“Kredit kepada pemain kerana cuba bangkit daripada ketinggalan 3–0 hingga menyamakan 3–3. Cuma kami masih kekurangan dalam disiplin bertahan dan pengurusan momen kritikal, terutamanya pukulan sudut penalti yang menjadi pemisah.
“Esok kami bertemu semula dengan New Zealand untuk penentuan tempat 3/4, tetapi suasana dan objektifnya berbeza. Saya jangka perlawanan kompetitif, dan kami perlu kekal tenang serta lebih matang dalam mengawal fasa akhir permainan.
“Penekanan utama untuk aksi esok adalah fokus 60 minit, kurangkan kesilapan di kawasan bertahan, serta lebih tajam dalam set-piece. Jika kami dapat berdisiplin sepanjang perlawanan, kami akan dapat mempamerkan persembahan yang lebih baik apabila bertahan,” katanya selepas perlawanan.









