Young Tigress Pamer Semangat Juang Tinggi Meskipun Tewas

Skuad Hoki Remaja Wanita Negara mempamerkan semangat melawan disebalik kekalahan tipis 0-1 kepada tuan rumah, Chile di Kejohanan Piala Dunia Remaja (WJWC) 2025 bagi aksi kedua Kumpulan A di Santiago.

 

Jaringan lewat permainan Javiera Saenz menerusi pukulan sudut penalti beberapa saat sebelum perlawanan tamat menyaksikan pasukan Chile mencatat kemenangan pertama selepas dibelasah juara bertahan Belanda 10-0, pada aksi pembukaan mereka.

 

Keputusan tersebut menyaksikan peluang Young Tigress untuk mengintai tempat ke suku akhir sudah tertutup namun ianya pasti memberi pengalaman cukup bermakna buat skuad muda wanita negara di kejohanan berprestij ini.

 

Pengendali Young Tigress, Lailin Abu Hassan tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya secara keseluruhan meskipun segala perancangan yang direncanakan tidak menjadi.

 

“Secara keseluruhannya pemain menunjukkan aksi yang sangat baik walaupun kita gagal mengekang PC yang terakhir. Pemain-pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mencapai kemenangan.

 

“Mereka mencipta peluang tetapi tidak mengambil peluang dengan baik. Pemain-pemain kita sudah memberi tentangan kepada Chile tapi segala perancangan dan serangan kita tidak menjadi.

 

“Kita juga telah menganalisa PC Chile, cuma pada penghujung perlawanan mereka kurang fokus mungkin kerana tekanan yang tinggi di kejohanan begitu besar, jadi mereka membuat kesilapan sebab bola itu terkena pelari pertama dan terus masuk ke gawang kita,” kata Lailin selepas perlawanan.

 

Keputusan itu merupakan kekalahan kedua buat Malaysia selepas tewas 1-4 kepada Jepun pada aksi pertama sekali gus menduduki kedudukan terbawah dalam Kumpulan A.

 

Young Tigress, dijadualkan bertemu Belanda (awal pagi Sabtu – 6 Dis jam 2:45 pagi) bagi aksi terakhir peringkat kumpulan dan Lailin berharap pemain mampu beraksi dengan penuh keyakinan dan tidak gentar berdepan juara bertahan itu.

 

“Menentang Belanda bukanya mudah kerana kita tahu mereka juara pada edisi yang lepas dan mereka juga telah membelasah pasukan Chile 10-0.

 

“Saya berharap pemain-pemain akan lebih yakin, fokus dan memberi persembahan yang terbaik untuk mengekang segala asakan Belanda.

 

“Pengalaman bermain dengan Belanda amat penting dan saya harap pemain akan belajar beraksi di pertandingan peringkat tertinggi seperti di Piala Dunia Remaja ini,”jelasnya.

 

Hanya juara kumpulan dan dua pasukan naib juara terbaik akan mara ke suku akhir manakala empat pasukan naib juara lain serta empat pasukan ketiga terbaik akan beraksi di klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

 

Baki pasukan lain akan bersaing dalam penentuan tempat ke-17 hingga ke-24.