Skuad Hoki Lelaki Negara kini berada pada landasan terbaik untuk meluaskan lagi penguasaan mereka di pentas Sukan SEA apabila turun dengan misi mempertahankan kejuaraan bagi edisi 2025 di Chonburi, Thailand bermula 11 hingga 19 Disember ini.
Malaysia yang kini telah mengumpul 17 pingat emas bagi acara hoki padang lelaki sejak penyertaan dalam temasya dwitahunan itu bermula di Kuala Lumpur pada 1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023, akan mempertaruhkan skuad senior bagi edisi kali ini.
Sepanjang tempoh tersebut, skuad negara hanya sekali menamatkan saingan selaku naib juara, iaitu pada Sukan SEA 1973 di Singapura.
Acara yang berlangsung di National Sports University, Chonburi bakal mempertemukan lima negara melibatkan Malaysia, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Singapura dengan format pertandingan bermain secara kumpulan sebelum empat pasukan terbaik mara ke separuh akhir.
Berdasarkan ranking semasa, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dunia tampil sebagai pasukan pilihan utama, jauh mengatasi Myanmar (69), Thailand (72), Indonesia (75) dan Singapura (81).
Speedy Tigers akan memulakan cabaran bertemu Myanmar pada 12 Disember sebelum turun menentang Indonesia keesokan harinya.
Saingan diteruskan dengan pertemuan menentang Singapura pada 15 Disember, manakala aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu tuan rumah, Thailand pada 16 Disember.
Aksi separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 18 Disember dengan pasukan tangga pertama akan bertemu pasukan di kedudukan keempat, manakala naib juara kumpulan berdepan pasukan di tempat ketiga.
Pemenang akan bertemu di pentas final pada 19 Disember bagi menentukan siapa yang membawa pulang pingat emas.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, daripada 18 pemain yang dibawa, 15 pemain merupakan mereka yang beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini sementara tiga lagi pemain adalah mereka yang tidak tersenarai ketika beraksi di Ipoh Perak.
“Kami mengekalkan skuad yang sama ketika beraksi di Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dan membawa masuk tiga pemain yang tidak tersenarai. Tiga pemain tersebut ialah Najib Hassan, Alfarico Jr dan Amanraj Singh.
“Ini merupakan peluang untuk tiga pemain ini beraksi dan membuktikan kemampuan mereka dan saya melihat tiga pemain ini mempunyai potensi serta bersedia sepenuhnya untuk beraksi di pentas besar seperti Sukan SEA,” kata Sarjit.
Sarjit turut mengingatkan bahawa persaingan dalam kalangan negara ASEAN semakin meningkat dan tidak ada lagi istilah lawan mudah, biarpun Malaysia memiliki ranking yang jauh lebih baik.
“ASEAN kini penuh dengan pasukan yang mahu mencabar Malaysia. Kami hormati semua lawan.
“Fokus kami bukan fikir tentang siapa bukan tandingan, tetapi memastikan kami bermain mengikut standard sendiri dan membawa pulang pingat emas,” katanya.
Mengulas mengenai tekanan selaku pasukan pilihan, Sarjit mengakui ia perkara biasa, namun menekankan bahawa pemain perlu menjadikannya sebagai suntikan motivasi bukan bebanan.
Tegas Sarjit, Sukan SEA adalah sebahagian penting dalam persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia dan ia akan dimanfaatkan untuk mempertajamkan set-piece, transisi, serta pengurusan permainan bagi memastikan Malaysia mencapai momentum terbaik apabila berdepan cabaran lebih besar selepas ini.
“Tekanan itu normal apabila sasaran emas diletakkan. Tetapi itu juga tanda kepercayaan kepada pasukan. Apa yang penting, pemain perlu kekal tenang, fokus dan mengikut struktur permainan tanpa terpengaruh dengan apa-apa tekanan luar.
“Sukan SEA ialah medan ujian dan pemanas enjin sebelum kelayakan Piala Dunia. Kami mahu memastikan setiap aspek permainan konsisten dan tajam,” katanya.
Berikut merupakan senarai 18 pemain yang menggalas tugas untuk membawa cabaran Malaysia memburu pingat emas Sukan SEA 2025.
| NO | NAMA | POSISI |
| 1 | MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN | PENJAGA GOL |
| 2 | MOHAMMAD RAFAIZUL MOHAMAD SAINI | |
| 3 | MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL | PERTAHANAN |
| 4 | SYED MOHAMMAD SYAFIQ SYED CHOLAN | |
| 5 | MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR | |
| 6 | FAIZ HELMI JALI | |
| 7 | MUHAMAD FARIS HARIZAN | |
| 8 | MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN | |
| 9 | MUGHNI MOHAMAD KAMAL | TENGAH |
| 10 | MOHD FITRI SAARI | |
| 11 | NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI | |
| 12 | MUHAMMAD SHAFIQ HASSAN | |
| 13 | SHELLO SILVERIUS | |
| 14 | ALFARICO LANCE LIAU JR | |
| 15 | MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL | PENYERANG |
| 16 | NORSYAFIQ SUMANTRI | |
| 17 | MUHAJIR ABDU RAUF | |
| 18 | AMANRAJ SINGH |
Berikut merupakan barisan pengurusan dan kejurulatihan yang akan bersama Speedy Tigers.
| NO | NAMA | JAWATAN |
| 1 | DATO’ AHMAD NAJMI ABDUL RAZAK | PENGURUS PASUKAN |
| 2 | SARJIT SINGH KUNDAN SINGH | KETUA JURULATIH |
| 3 | AZRUL EFFENDY BISTAMAM | PEN. JURULATIH / PEN. PENGURUS |
| 4 | KUMAR SUBRAMIAM | JURULATIH PENJAGA GOL |
| 5 | AHMAD ELDAINE SUMADI | ANALISA PRESTASI (ISN) |
| 6 | ABDUL THAQIF ABDUL RIZAL | FISIOTERAPI (ISN) |
Berikut merupakan jadual pusingan kumpulan melibatkan pasukan Malaysia dan jadual perlawanan pusingan kedua.
| TARIKH / HARI | MASA (WAKTU MALAYSIA | LAWAN |
| 12 DIS 25 (JUMAAT) | 11:30 PAGI | MYANMAR lwn MALAYSIA |
| 13 DIS 25 (SABTU) | 1:45 PETANG | INDONESIA lwn MALAYSIA |
| 15 DIS 25 (ISNIN) | 11:30 PAGI | MALAYSIA lwn SINGAPURA |
| 16 DIS 25 (SELASA) | 1:45 PETANG | THAILAND lwn MALAYSIA |
| 18 DIS (KHAMIS) | 9:00 PAGI | SEPARUH AKHIR 1 |
| 11:30 PAGI | SEPARUH AKHIR 2 | |
| 19 DIS (JUMAAT) | 11:30 PAGI | PENENTUAN PINGAT EMAS |









