Malaysia Berpesta Gol Belasah Filipina 18-0, Tundukkan Indonesia 4-2

Skuad Hoki 5 Sebelah (5s) Lelaki Kebangsaan memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila menghadiahkan dua kemenangan meyakinkan pada hari pembukaan, sekali gus menghantar isyarat jelas bahawa pingat emas menjadi buruan utama mereka.

 

Pada aksi sebelah pagi, Malaysia terlebih dahulu mengetepikan cabaran Indonesia dengan kemenangan 4-2 sebelum benar-benar ‘mengganas’ dalam perlawanan kedua apabila membelasah Filipina 18-0 di Royal Thai Air Force Hockey Field, Bangkok.

 

Pada aksi menentang Filipina, empat pemain negara berjaya mencipta hatrik bermula dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-5,10,6 diikuti Syarman Mat Tee(m-6,8,9), Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee (m-10,15,16) serta Muhammad Muhibuddin Moharam(m-12,14,19), di mana masing-masing menyumbang tiga gol.

 

Sementara, Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit ke-3, 18 dan Muhammad Arif Syafie Ishak (m-20,25), masing-masing menjaringkan dua gol manakala Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (m-3) serta Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (m-18) meledak satu gol setiap seorang ketika membantu kemenangan besar ke atas Filipina.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman memuji prestasi keseluruhan pemain-pemain yang menunjukkan permainan cemerlang terutama mencatat kemenangan besar ke atas Filipina.

 

Beliau berharap momentum ini dapat diteruskan menjelang aksi esok berdepan tuan rumah, Thailand supaya memastikan Malaysia dapat muncul sebagai juara pusingan “round robin”

 

“Alhamdullilah atas kemenangan kedua pada petang ini paling mustahak kita dapat menjaringkan gol yang lebih untuk mengelak sebarang kemungkinan untuk ke pusingan kedua nanti.

 

“Harapan saya semoga perlawanan seterusnya esok menentang pasukan tuan rumah (Thailand), pemain dapat mengekalkan tempo dan dapat menjaringkan gol supaya mereka berada pada kedudukan terbaik iaitu juara pusingan agar mendapat laluan mudah di separuh akhir nanti.

 

“Pasukan tuan rumah semestinya tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan kebangsaan memandangkan mereka telah menang ketika menentang pasukan Indonesia sebentar tadi.

 

“Harapan kita supaya semua pemain berapa pada tahap yang terbaik dapat mengekalkan tempo, seterusnya menang tiga mata,” katanya selepas perlawanan.