Final Dalam Genggaman Malaysia, Cetak 31 Gol Dalam Tiga Perlawanan

Skuad Hoki 5 Sebelah (5s) Lelaki Kebangsaan membuktikan bahawa pingat emas semakin hampir menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, dengan tuan rumah, Thailand, menjadi mangsa belasahan terbaru mereka.

 

Pada aksi di Royal Thai Air Force Hockey Field, Bangkok, skuad kendalian Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman membelasah Thailand 9-1 sekali gus mengumpul 31 gol keseluruhan daripada tiga perlawanan diharungi.

 

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan Filipina pada aksi separuh akhir Rabu ini pada pukul 11 pagi (waktu Malaysia) iaitu lawan yang dibelasah 18-0 pada pusingan round robin sekali gus menggambarkan tiket ke final dalam genggaman.

 

Anak buah Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman tampil garang sejak wisel pertama apabila Kamarulzaman Kamaruddin membuka tirai jaringan seawal minit kedua, namun Thailand sempat memadamkan kelebihan itu melalui penyamaan Worawut Kaeochianghwang seminit kemudian.

 

Gol penyamaan tersebut seolah-olah membangkitkan amarah Malaysia yang kembali memperkemas organisasi permainan sebelum meningkatkan intensiti serangan, menyebabkan benteng Thailand tidak mampu menampung asakan bertali arus.

 

Hasilnya, Malaysia menambah lapan lagi gol untuk menjadikan jumlah keseluruhan 31 jaringan daripada tiga perlawanan satu pernyataan yang cukup jelas mengenai dominasi mereka dalam saingan kali ini.

 

Akhimullah Anuar Esook terus membuktikan ketajaman penyudah apabila menyumbat dua gol pada minit ke-9 dan 25, diikuti Abid Sufian Mat Ruslee yang turut meledak dua jaringan (m-18, 26). Kamarulzaman tidak ketinggalan mencatatkan dua gol peribadi (m-2, 15) untuk melengkapkan hari gemilang skuad negara.

 

Tiga lagi jaringan hadir menerusi Muhibuddin Moharam (m-10), Syarman Mat Tee (m-17) dan Shafiq Ikhmal Suzaini (m-29) yang masing-masing menambah derita skuad tuan rumah.

 

Malaysia kini berada pada prestasi optimum dan dilihat sukar digugat, sekali gus menyalakan keyakinan bahawa emas hoki 5s lelaki bukan sekadar sasaran, sebaliknya hampir pasti menjadi milik negara.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman menghembur pujian kepada prestasi anak buahnya yang berjaya meneruskan rentak kemenangan. Beliau berharap momentum ini dapat dikekalkan dalam perlawanan separuh akhir dan final.

 

“Pertama kali syukur atas kemenangan petang ini, keputusan yang kita nantikan. Apa yang kita harapkan pemain-pemain dapat menjaringkan gol.

 

“Keputusan ini membolehkan kita berada di puncak kumpulan dan kita akan bertemu Filipina di separuh akhir, sebenarnya itulah harapan saya supaya pemain berada di puncak supaya mereka mendapat laluan mudah ke final nanti.

 

“Kemenangan ini menyuntik semangat kepada pemain untuk beraksi lebih baik pada separuh akhir nanti, saya harapkan kemenangan ini dapat memotivasikan pemain untuk mereka lebih bersemangat dan dapat menjaringkan gol pada perlawanan separuh akhir dan final nanti,” katanya.

 

Dua perlawanan sebelum ini, Malaysia membuka kempen saingan dengan kemenangan 4-2 ke atas Indonesia, sebelum berpesta gol menewaskan Filipina 18-0.