Skuad Hoki Wanita 5s Sukar Digugat, Catat Kemenangan Ketiga Berturut-Turut

Skuad Hoki Wanita 5 Sebelah (5s) Kebangsaan nyata sukar digugat sekali gus menepati sebagai pilihan utama untuk meraih pingat emas dalam acara itu di Sukan SEA 2025 Thailand.

 

Malaysia bermain dua perlawanan hari ini, dengan aksi pertama disebelah pagi menyaksikan kemenangan besar 13-0 ke atas Filipina, sebelum momentum kemenangan diteruskan di sebelah petang menewaskan tuan rumah, Thailand 7-2 di Royal Thai Air Force Hockey Field, hari ini.

 

Aksi pertama pusingan round robin, semalam, skuad negara berjaya menewaskan Indonesia 5-3. Tiga kemenangan berturut-turut diraih Malaysia, menjadi mereka sebagai pasukan yang menjaringkan gol terbanyak dalam pusingan round robin iaitu 25 gol dan dibolosi 5.

 

Aksi separuh akhir nanti, lawan menanti Malaysia adalah Filipina yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini pada pukul 1 petang (waktu Malaysia).

 

Pada aksi ketiga berdepan Thailand, tujuh gol dijaringkan Malaysia disumbang oleh dua pemain yang mencetak hatrik iaitu Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pada minit ke-15,22 dan 24 serta Nor Adilah Abdul Malik (m-19,24,24)

 

Sementara dua gol Thailand dijaringkan oleh Sudarat Noo-Keaw pada minit ke-13 dan Anongnat Piresram (m-20).

 

Ketua jurulatih hoki wanita kebangsaan, G Sasitheran memuji semangat juang pemain-pemain yang bangkit meskipun terlebih dahulu ketinggalan dalam perlawanan itu.

 

Jelasnya, pada aksi separuh akhir ini, beliau mengakui tidak boleh menganggap perlawanan mudah kerana ia adalah peringkat berbeza dengan saingan kumpulan.

 

“Pada awalnya kita memang ketinggalan tetapi kita menyamakan kedudukan dan meningkat momentum serta menambah jaringan. Saya rasa itu satu semangat juang yang bagus ditunjukkan pemain-pemain kita.

 

“Saya harap kita dapat tingkatkan lagi prestasi pada separuh akhir. Di peringkat separuh akhir semua pasukan mempunyai peluang, kita tidak boleh menganggap ia satu laluan yang mudah, kita kena fokus kepada permainan kita untuk mara ke final.

 

“Untuk pemain kita perlu lebih fokus dan kita ada masa rehat sehari. Jadi saya mohon kepada para pemain dapat menggunakan masa ini untuk menganalisis pasukan-pasukan lawan supaya lebih bersedia dan menunjukkan aksi mantap,” katanya selepas perlawanan.