Young Tigers menamatkan kempen Piala Dunia Remaja 2025 di Tamil Nadu dengan keputusan positif apabila menewaskan Jepun 3-0 menerusi penentuan shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 bagi mengesahkan tempat ke-13 dunia daripada 24 pasukan yang bertanding.
Pada aksi penentuan tempat ke-13 dan ke-14, skuad hoki remaja lelaki negara terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti oleh Azimuddin Syakir Kamaruddin yang tenang menyempurnakan peluang itu.
Namun begitu, Jepun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi jaringan padang Shun Hara yang memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti shoot out.
Aksi penentuan itu menyaksikan tiga pemain muda negara, Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar, Muhammad Addy Jazmi Jamlus dan Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari menyempurnakan pukulan dengan sempurna.
Ketangkasan penjaga gol negara, Haziq Muizzuddin Hairul Mizan yang berjaya menafikan pukulan pemain-pemain Jepun turut menjadi penyumbang besar kepada kemenangan skuad remaja negara.
Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menyifatkan kedudukan ke-13 dunia sebenarnya tidak melambangkan kekuatan sebenar anak buahnya namun secara keseluruhan ia masih satu pencapaian membanggakan.
Jelasnya, jika susunan kumpulan lebih memihak kepada Malaysia kemungkinan pasukan remaja negara mampu berada di peringkat suku akhir.
“Kedudukan ke-13 tidak melambangkan kekuatan kita sebenar. Pada awal pertandingan ini, kita lihat kumpulan New Zealand mungkin mudah sikit untuk masuk suku akhir. Tetapi saya melihat secara keseluruhan iaitu cara kita bermain dengan pasukan-pasukan di Eropah, dari Afrika Selatan dan Asia.
“Saya rasa yang penting adalah bagaimana kita perlu mempertingkatkan lagi kemahiran kita untuk bermain dengan pasukan ini di peringkat lebih tinggi.
“Tempat ke-13 ini bagi saya ok kerana dikelompok dekat dengan kita, dibawah pasukan Afrika Selatan, Australia, England dan Ireland. Kita pula bersama Jepun.
“Jadi secara keseluruhan kita perlu melonjakkan kedudukan dan standard kita ke depan lagi. Daripada keseluruhan di kejohanan ini, kita nampak kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki dan kemahiran individu harus dipertingkatkan.
“Piala dunia remaja diadakan setiap dua tahun jadi kita perlu melakukan persiapan terbaik, pemain-pemain kena tahu cara bermain kerana hoki sekarang sangat pantas, di mana tidak boleh leka dan hilang fokus sepanjang permainan,” katanya selepas perlawanan.









