Skuad Hoki Wanita 5s Tepati Sasaran Perak Di Sukan SEA 2025

Skuad Hoki Wanita 5 Sebelah (5s) Kebangsaan menepati sasaran yang digariskan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) apabila meraih pingat perak di Sukan SEA 2025 Thailand.

 

Pada aksi final yang berlangsung di Royal Thai Air Force Hockey Field, Bangkok, Malaysia tewas 1-7 kepada pasukan tuan rumah yang tampil bertenaga.

 

Malaysia sebelum ini turun dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Thailand 7-2 pada pertemuan round robin, namun situasi berbeza menanti mereka di pentas final.

 

Tuan rumah memulakan aksi dengan agresif dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-4 menerusi Thanaphon Khamnon hasil satu gerakan pantas.

 

Bagaimanapun, skuad negara tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Nurfatin Dizana Mohd Zaidi menyamakan kedudukan hanya seminit kemudian, sekali gus menghidupkan peluang Malaysia untuk memberi tentangan sengit kepada Thailand.

 

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain Thailand, Anongnat Piresram, meletakkan pasukan tuan rumah kembali di depan pada minit ke-5.

 

Thailand terus menekan Malaysia dan berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi Supansa Samanso pada minit ke-8 dan Natthakarn Aunjai pada minit ke-10, menjadikan kedudukan 4-1.

 

Memasuki babak kedua, Malaysia yang dibimbing G. Sasitheran cuba mengatur semula rentak permainan, namun Thailand kekal mendominasi permainan. Samanso dan Anongnat sekali lagi membolosi gawang Malaysia pada minit ke-19 serta m-22 untuk gol peribadi kedua buat mereka.

 

Jumlah jaringan itu menjadikan kedudukan semakin sukar untuk dikejar Malaysia yang tetap bekerja keras untuk menambah gol.

 

Thailand kemudian melengkapkan kemenangan pada minit ke-27 menerusi jaringan Jenjira Kijpakdee yang memastikan Thailand meraih emas sulung acara hoki 5s wanita di temasya kali ini.

 

Walaupun terpaksa pulang dengan pingat perak, pencapaian itu tetap dianggap satu kejayaan buat Malaysia kerana sasaran awal sememangnya diletakkan pada kedudukan naib juara.

 

Prestasi yang dipamerkan sepanjang kejohanan menunjukkan potensi besar skuad wanita negara untuk terus berkembang pada edisi akan datang.