Malaysian Tigress, Speedy Tigers Terus ‘Mengaum’ Di Bangkok

Skuad Hoki Wanita Kebangsaan terus mempamerkan aksi ‘sang juara’ apabila membelasah Indonesia 11-1 dalam aksi kedua pusingan round robin acara hoki padang Sukan SEA Thailand 2025, di Universiti Sukan Kebangsaan di Chonburi.

 

Pada perlawanan itu, Malaysia hanya memerlukan dua minit untuk merobek gawang Indonesia melalui gol padang Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Juliani Mohamad Din menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti (PC) pada minit ke-3.

 

Nuramirah Shakirah Zulkifli terus melebarkan kedudukan Malaysia menerusi dua gol pada minit ke-16 dan ke-37 manakala Dayang Nuramirah Abang Mahadini turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-23.

 

Gol sagu hati Indonesia dijaringkan oleh Sri Rahayu pada minit ke-35 sebelum Malaysia terus mempamerkan penguasaan dengan gol tambahan daripada Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang pada minit ke-37, 43 dan 44.

 

Nur Afiqah menambah dua gol lagi pada minit ke-49 dan 60 manakala Siti Nur Arfah Mohd Nor menyumbang satu gol di minit ke-57. Penampilan penuh gemilang itu memastikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan keputusan 11-1.

 

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, barisan anak buahnya mempamerkan aksi cukup berdisiplin sepanjang tempoh perlawanan itu.

 

“Kita sangat disiplin di bahagian hadapan di mana kami banyak membuat tekanan ke atas pasukan Indonesia serta dapat mencuri bola di atas. Pemain-pemain kita berusaha agak tinggi kerana mereka mahukan kemenangan yang besar.

 

“Namun, kita harus persiapkan diri untuk perlawanan menentang pasukan Thailand seterusnya. Kita ada lagi dua hari cuti untuk kita berlatih, mempertajamkan, serta membiasakan diri dengan keadaan padang yang agak sukar dan kita juga akan membuat pemulihan serta analisis video.

 

“Yang paling penting tiada kecederaan serius, kita ada tiga perlawanan lagi untuk mencapai sasaran kita memenangi pingat emas,” katanya selepas perlawanan.

 

Sementara itu, pasukan lelaki juga turut melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Indonesia 6-2.

 

Speedy Tigers membuka tirai jaringan pada minit ke-7 menerusi gol padang Muhajir Abdu Rauf namun Indonesia menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil jaringan Redy Dwi.

 

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bangkit membalas dengan tiga gol bermula dengan ledakan Syed Syafiq Syed Cholan yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-15, disusuli gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-20) serta Syed Syafiq sekali lagi menyudahkan PC (m-39).

 

Ketika Speedy Tigers menguasai permainan, Indonesia menjaringkan satu lagi gol padang menerusi Khaerulloh Akmal pada minit ke-50 namun skuad negara bangkit membalas dengan dua gol, masing-masing daripada Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (gol padang, m-59) dan sentuhan penyudah pukulan sudut penalti Syed Syafiq pada penghujung perlawanan untuk menutup kemenangan bergaya Malaysia.