Permulaan Sempurna Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki, Malaysia Benam Filipina 13-0

Skuad hoki lelaki dalam dewan kebangsaan membuka kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan besar 13-0 ke atas Filipina dalam perlawanan pertama pusingan round robin di Wet 1 Hall, Thai–Japan Sports Center, Bangkok, hari ini.

 

Malaysia tidak menunggu lama untuk mendahului apabila Shahmie Irfan Suhaimi meledak dua gol seawal minit pertama sebelum Meor Muhamad Azuan Hasan menambah jaringan pada minit ketiga.

 

Dominasi berterusan menyaksikan Faridzul Afiq Mohd mencipta hatrik hasil gol pada minit kelima, ke-11 dan ke-12, manakala Meor sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-14 untuk meletakkan Malaysia selesa di hadapan.

 

Bersambung babak kedua, skuad negara terus menekan dengan Muhammad Firdaus Omar dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan masing-masing menyumbang gol menerusi pukulan sudut penalti.

 

Faridzul Afiq melengkapkan prestasi cemerlangnya dengan satu lagi gol menerusi PC, sebelum Shahmie menambah dua gol lagi untuk merekodkan empat jaringan peribadi dalam perlawanan tersebut.

 

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki dalam dewan negara, Mohamad Amin Rahim bersyukur dengan kemenangan besar itu, namun mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan berdepan Indonesia.

 

“Alhamdulillah kita menang dengan jaringan 13-0. Walaupun daripada segi jaringan saya berpuas hati, tetapi banyak lagi ruang-ruang yang perlu kita perbaiki terutama menjelang perlawanan menentang Indonesia esok.

 

“Saya harap pemain-pemain dapat sentuhan pertama dan bermain dengan baik sebagai satu pasukan,” katanya.

 

Mengulas cabaran seterusnya, Amin Rahim mengakui Indonesia bukan lawan mudah memandangkan pasukan itu membuat persiapan rapi menghadapi temasya dwitahunan tersebut.

 

“Untuk perlawanan kedua menentang Indonesia esok, saya rasa kita sudah lihat serba sedikit kekuatan mereka. Kita tahu Indonesia membuat persiapan yang rapi dalam Sukan SEA ini dan sudah tentu banyak perkara yang kita telah lihat daripada segi kelemahan serta kekuatan mereka,” ujarnya.

 

Beliau turut memaklumkan sesi analisis video akan diadakan bagi merangka taktikal terbaik menjelang pertemuan penting itu.

 

“Sesi video malam ini kita akan kaji dan lihat bagaimana taktikal serta perancangan yang akan digunakan untuk melakar kemenangan esok,” ujarnya.