Skuad hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Sukan SEA Thailand 2025 apabila mencatat kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura dalam perlawanan ketiga pusingan round robin di Universiti Sukan Kebangsaan, Chonburi.
Kemenangan tersebut mengukuhkan status Malaysia sebagai pasukan paling prolifik setakat ini dan pilihan mempertahankan pingat emas, dengan keseluruhan 33 gol berjaya dikumpulkan daripada tiga perlawanan pusingan round robin.
Speedy Tigers membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti (PC) oleh Shello Silverius pada minit ke-18 sebelum Syed Syafiq Syed Cholan menggandakan kelebihan, juga melalui PC, pada minit ke-33.
Dominasi Malaysia diteruskan pada separuh masa kedua apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol padang pada minit ke-39.
Shello Silverius sekali lagi mencatat nama selaku penjaring menerusi gol padang pada minit ke-46, sebelum Muhammad Amirul Hamizan Azahar menyempurnakan PC pada minit ke-49 dan Azrai Aizad melengkapkan kemenangan Malaysia dengan satu lagi jaringan PC pada minit ke-57.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh, memuji persembahan keseluruhan pasukan namun mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari segi penyudah.
“Kami datang dengan sasaran untuk memenangi setiap perlawanan. Secara keseluruhan, pemain mempamerkan aksi yang baik, cuma aspek penyudah perlu dipertingkatkan.
“Kami berjaya menggerakkan bola dengan baik di seluruh padang, meraih tiga mata penuh serta kelebihan dari segi perbezaan jaringan gol,” katanya.
Beliau turut menegaskan prestasi pasukan berada pada landasan tepat, namun menjangkakan lebih banyak gol sepatutnya dapat dihasilkan berdasarkan penguasaan permainan.
“Prestasi pasukan berada pada tahap yang memuaskan, namun kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol. Oleh itu, tumpuan utama selepas ini adalah untuk memperbaiki ketajaman penyudah,” jelas Sarjit.
Sebagai rekod, Speedy Tigers memulakan kempen dengan kemenangan besar 21-1 ke atas Filipina sebelum menewaskan Indonesia 6-2 pada aksi kedua, sekali gus meletakkan pasukan negara dalam posisi terbaik untuk memburu slot ke peringkat separuh akhir.
Dengan momentum yang semakin kukuh dan konsistensi jaringan yang tinggi, Speedy Tigers dilihat berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 dan melebarkan rekod kepada 18 pungutan pingat emas.
Malaysia telah mengumpul 17 pingat emas bagi acara hoki padang lelaki sejak penyertaan dalam temasya dwitahunan itu bermula di Kuala Lumpur pada 1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023.









