Hoki Dalam Dewan: Malaysia Bersedia Buru Tiket Ke Final

Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan bersedia memburu tempat ke pentas akhir bagi merebut pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 apabila masing-masing turun menentang lawan berbeza di Wet 1 Hall Thai-Japan Sports Center, esok.

 

Pada aksi hari ini, Skuad hoki lelaki dalam dewan negara menamatkan saingan pusingan round robin Sukan SEA Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila bangkit menewaskan tuan rumah, Thailand 6-4 pada aksi terakhir.

 

Kemenangan itu membolehkan Malaysia muncul juara pusingan round robin, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan Singapura pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung esok, pada pukul 3.30 petang (waktu Malaysia).

 

Thailand terlebih dahulu mengejutkan kem negara apabila mendahului menerusi dua jaringan awal hasil gol padang Jirawat Samoang pada minit ketiga dan Warawut A-Nukoon pada minit ke-10, memaksa Malaysia bekerja keras untuk kembali menguasai perlawanan.

 

Namun, kebangkitan pantas ditampilkan skuad negara menerusi rangkaian jaringan pukulan sudut penalti apabila Muhammad Firdaus Omar (13’), Muhammad Najmi Farizal Jazlan (18’) dan Faridzul Afiq Mohd (19’) mengubah momentum perlawanan sebelum Muhamad Izham Azhar menambah gol keempat pada minit ke-21.

 

Thailand cuba merapatkan jurang menerusi jaringan Pongpon Sukwong pada minit ke-30, namun ketenangan pemain negara jelas menjadi pembeza apabila Shazril Irwan Nazli menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Shahmie Irfan Suhaimi menjaringkan gol padang pada minit ke-34 untuk meletakkan Malaysia kembali selesa.

 

Gol kedua Warawut A-Nukoon pada minit ke-39 sekadar merapatkan jurang, namun Malaysia kekal tenang hingga wisel penamat ditiup bagi mengesahkan kemenangan 6-4 ke atas lawan tradisi Asia Tenggara itu.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara, Amin Rahim, memuji semangat juang anak buahnya yang berjaya bangkit selepas permulaan goyah, namun mengingatkan pemain agar segera memperbaiki kelemahan menjelang separuh akhir.

 

“Alhamdulillah, syukur kita berjaya melakar kemenangan walaupun menerima saingan hebat daripada Thailand. Dua gol awal itu memberi isyarat bahawa kita tidak bermain dengan baik pada suku pertama, tetapi pemain bangkit dan berjaya mendahului perlawanan,” katanya.

 

Mengulas pertemuan separuh akhir menentang Singapura, Amin Rahim menegaskan keputusan kemenangan besar 8-0 sebelum ini tidak boleh dijadikan sandaran, sebaliknya menuntut fokus dan disiplin tinggi bagi memastikan misi memburu emas terus berada di landasan tepat.

 

Dalam pada itu, skuad wanita negara tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi terakhir round robin selepas dibolosi pada minit ke-28 menerusi penalti stroke disudahkan Jiratchaya Todkaew dan m-30 jaringan pukulan sudut penalti oleh Sirikorn Ongardnarong.

 

Esok, skuad wanita negara yang menamatkan pusingan round robin sebagai naib juara dibelakang Thailand akan menentang Indonesia pada aksi separuh yang berlangsung pada pukul 5 petang (waktu Malaysia).

 

Jurulatih Hoki Dalam Dewan Wanita negara, Rodzhanizam Mat Radzi, mengakui beberapa kesilapan dilakukan anak buahnya telah menghukum pasukan ketika tewas kepada Thailand.

 

Namun, beliau menggesa pemain-pemain bangkit mencipta kemenangan dan bermain sehabis baik di separuh akhir berdepan Indonesia, esok bagi memastikan tempat di final.

 

“Perlawanan hari ini bertemu Thailand, mereka pasukan yang lebih baik daripada Indonesia. Thailand boleh dikatakan bermain dengan baik. Ada beberapa lagi kesilapan-kesilapan yang dilakukan pemain tetapi saya rasa pemain telah beri yang terbaik.

 

“Walaupun kita tewas dengan Thailand iaitu antara pasukan terkuat di Sukan SEA ini, kita harap pemain-pemain akan fokus semula bertemu Indonesia di separuh akhir.

 

“Dalam round robin memang kita menang 3-0 dengan Indonesia tetapi separuh akhir keseluruhan sememangnya berbeza. Kita akan lakukan analisa, perbaiki apa yang perlu dan bangkit semula untuk mencipta kemenangan. Saya percaya pemain akan bermain mati-matian untuk kita menang dengan Indonesia esok,” katanya.