Speedy Tigers, Malaysian Tigress Kekal ‘Raja’ dan ‘Ratu’ Asia Tenggara

Skuad hoki kebangsaan lelaki dan wanita sekali lagi membuktikan keunggulan Malaysia sebagai kuasa besar hoki Asia Tenggara apabila masing-masing merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2025 selepas menewaskan lawan di pentas final.

 

Speedy Tigers yang turun selaku pilihan utama tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan bergaya apabila membelasah Thailand 8-0, manakala Malaysian Tigress turut cemerlang membenam Indonesia 6-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Kampus Chonburi.

 

Kejayaan itu menyaksikan skuad lelaki negara kini mengumpul 18 pingat emas sejak menyertai temasya dwitahunan berkenaan pada edisi 1971 di Kuala Lumpur, sekali gus meneruskan dominasi mutlak Malaysia dalam acara hoki padang lelaki.

 

Pada aksi itu, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi gol padang Muhajir Abdu Rauf sebelum Faiz Helmi Jali menggandakan kelebihan pada minit ke-27, diikuti jaringan pantas Nik Aiman Nik Rozemi seminit kemudian bagi memastikan Malaysia selesa mendahului 3-0.

 

Memasuki babak kedua, tekanan berterusan menyaksikanFitri Saari menambah jaringan keempat pada minit ke-42, sebelum Alfarico Lance Liau meledak gol kelima pada minit ke-50.

 

Amanraj Singh kemudian muncul wira dengan hatrik apabila menjaringkan tiga gol berturut-turut pada minit ke-55, 57 dan 60 untuk melengkapkan kemenangan besar Malaysia, sekali gus menutup tirai perlawanan dengan kejayaan bergaya.

 

Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh nyata berpuas hati dengan persembahan pemainnya malah turut berterima kasih kepada barisan pimpinan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjadi pendorong utama kejayaan skuad negara.

 

“Pemain beraksi dengan baik. Kami ke sini untuk memenangi pingat emas dan kami berjaya mendapatkannya.

 

“Tahniah kepada pemain dan terima kasih kepada KHM, barisan kejurulatihan dan MSN. Mereka melakukan tugasan dengan baik. Kami menang pingat emas dengan selesa,” katanya.

 

Sementara itu, Malaysian Tigress melengkapkan detik manis buat hoki padang negara apabila mudah mengetepikan cabaran Indonesia dengan kemenangan 6-0.

 

Gol skuad wanita negara disumbang oleh Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin yang menyempurnakan dua pukulan sudut penalti manakala Nur Afiqah Syahzani Azhar meledak dua jaringan padang.

 

Nuraizatul Hanim Syafi Shiek Fuad dan Hanis Nadiah Onn masing-masing mencetak satu gol untuk memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia.

 

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim memuji persembahan ditunjukkan pemainnya sepanjang perlawanan akhir itu.

 

Nasihin berkata, walaupun pasukannya melakar kemenangan besar tetapi mereka dipaksa bekerja keras dan diberi tekanan oleh Indonesia.

 

“Kami bermula dengan perlahan tetapi pemain dapat mengawal emosi mereka dan menjaringkan gol dengan tekanan yang diberikan. Saya berasa lega kerana pemain dapat mengekalkan pingat emas ini.

 

“Kita berjaya mengekalkan pingat emas ini dan pemain perlu diberikan kredit kerana bermain dengan baik walaupun berdepan tekanan tinggi.

 

“Terima kasih kepada MHC terutama presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, MSN dan ISN kerana memberi sokongan penuh kepada pasukan. Ini juga persiapan untuk kelayakan Piala Dunia tahun depan,” katanya.

 

Nasihin turut berkata, kejayaan tersebut turut didorong oleh Program Podium yang dikendalikan oleh MSN dalam memastikan Malaysian Tigress melangkah lebih jauh dalam setiap kejohanan disertai.

 

Selepas ini, Malaysian Tigress akan melakukan persiapan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia Wanita 2026 pada Februari hingga Mac depan.