Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan telah mengambil satu langkah proaktif bagi memastikan pasukan kebangsaan lelaki negara kembali berada pada tahap terbaik dan mampu mencatat prestasi cemerlang di pentas antarabangsa.
Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal menjelaskan, satu keputusan sebulat suara telah dicapai oleh Ahli Lembaga Eksekutif KHM untuk tidak menyambung kontrak Ketua Jurulatih, Sarjit Singh.
“Untuk makluman, keputusan ini dibuat selepas satu mesyuarat diadakan bersama barisan Ahli Lembaga Eksekutif pada Sabtu (14 Mac) lepas di mana keputusan ini dicapai sebulat suara bagi mempersiapkan Pasukan Kebangsaan menjelang kejohanan-kejohanan besar tahun ini.
“Kita memerlukan perubahan yang lebih baik dalam pasukan, kita perlukan keputusan yang lebih positif dan peningkatan prestasi yang lebih baik.
“Malaysia akan menghadapi kejohanan penting seperti Piala Dunia, Piala Negara-Negara dan kejohanan terpenting iaitu Piala Asia yang turut menawarkan tiket ke Sukan Olimpik pada tahun ini. Jadi perubahan yang lebih positif menjadi fokus utama ketika ini,” kata Dato’ Sri Subahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarjit Singh atas segala sumbangan dan pengorbanannya selama dua tahun memimpin Speedy Tigers.
“KHM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Coach Sarjit atas segala usaha gigh beliau dalam membantu pasukan kebangsaan selama dua tahun,” jelas beliau.
Bagi mengisi jawatan Ketua Jurulatih Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, KHM telah melantik Brendan Carolan dari Afrika Selatan. Brendan yang memiliki pengalaman luas dalam arena hoki antarabangsa diharap dapat membawa Speedy Tigers ke tahap dan ranking yang lebih baik dalam masa terdekat.

“KHM telah bersepakat, sebulat suara melantik Coach Brendan Carolan. Beliau pernah menjadi Penolong Jurulatih kepada Paul Revington dan Arul Selvaraj dan juga Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan Ireland.
“Selain itu, beliau merupakan pakar perunding hoki untuk Gantoise Hockey Club di Belgium yang memenangi liga selama dua tahun berturut-turut. Brendan amat mengenali pemain-pemain kebangsaan kita dan pemain turut menyokong pelantikan ini,” kata Dato’ Sri Subahan.
Brendan dijangka tiba minggu hadapan dan memulakan tugas dengan kontrak setahun bermula 1 April 2026 hingga 1 April 2027). Fokus beliau bakal tertumpu kepada petunjuk prestasi utama (KPI) utama iaitu persiapan menghadapi Sukan Asia.
KHM merancang mengadakan sidang media khas selepas Aidilfitri untuk memperkenalkan Brendan secara rasmi kepada media dan penyokong.
“Keputusan ini diambil untuk memastikan Speedy Tigers kembali berdaya saing dan menempatkan Malaysia di kedudukan lebih tinggi dalam ranking dunia. Kita perlu bergerak pantas, fokus pada persiapan dan memaksimumkan potensi pemain,” tegas Datuk Seri Subahan.









