Negeri Sembilan Julang Trofi Piala Sumbangsih

Artikel Oleh : PODIUM ON TOUR
Hasrat Negeri Sembilan kembali bergelar juara treble terus berada di landasan tepat selepas menjuarai Piala Sumbangsih aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) 2026.

Hasrat Negeri Sembilan kembali bergelar juara treble terus berada di landasan tepat selepas menjuarai Piala Sumbangsih aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) 2026.

 

Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan 4-0 N. Sembilan ke atas pencabar utama, Malaysian University di Stadium Hoki Seremban 2.

 

Ketua jurulatih N. Sembilan, Shaiful Azli Abd Rahman menganggap barisan pemain mengambil setiap peluang yang ada sebagai kunci utama kejayaan itu.

 

“Alhamdulillah dengan kemenangan ini, cuma kami tak boleh terlalu selesa kerana masih ada kelemahan boleh diperbaiki.

 

“Selepas gol dalam suku pertama, kami terpaksa tunggu hingga suku ketiga untuk tambah jaringan. Kalau boleh kami perlu dapatkan jaringan lebih awal lagi,” katanya kepada Podium On Tour.

 

Empat gol N. Sembilan diperoleh menerusi dua jaringan Fatin Shafika Mahd Sukri dan masing-masing satu daripada Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Siti Nur Arfah Mohd Nor.

 

N. Sembilan yang diperkuat dengan enam pemain kebangsaan: Fatin Shafika Mahd Sukri. Siti Nur Arfah Mohd Nor, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Noor Hasliza Md Ali, Nuramirah Syakirah Zulkifli dan Siti Nur Atika Shaikh Maznan, dilihat sebagai pilihan untuk mencabar kejuaraan musim ini.

 

N. Sembilan turut memiliki dua import India seperti Vandana Katariya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik dan Jyoti Chhantri selain bekas-bekas pemain berpengalaman kebangsaan.

 

Malaysian University juga tidak kurang hebatnya kerana ada 12 pemain dalam kem kebangsaan, tidak termasuk 3 lagi yang tidak disenaraikan dalam aksi itu.

 

Pastinya, Malaysian University akan bangkit memburu kemenangan pertama menentang Perak di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh pada 23 April ini.

 

N. Sembilan pula akan bertemu MS Pahang yang tewas 0-3 kepada Terengganu di Kompleks Sukan Pahang, Kuantan semalam.