TNB Thunderbolts Ikat THT, TNB Thunderstars Catat Kemenangan Ketiga Berturut-Turut

Bertandang ke Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, TNB Thunderbolts yang rata-rata dibarisi skuad remaja negara memastikan mereka pulang ke Kuala Lumpur dengan satu mata selepas mengikat Terengganu Hockey Team (THT), 1-1.

 

Sementara “abang” mereka TNB Thunderstars yang turun untuk perlawanan ketiga mereka hari ini meraih kemenangan ketiga berturut-turut, selepas menewaskan skuad daripada negara tembok besar China, Liaoning Men’s HT, 3-1.

 

Keputusan perlawanan hari ini juga mengambarkan kedudukan tangga teratas semakin hebat dicabar oleh TNB Thunderstars dan Maybank yang turut mengutip tiga mata hasil kemenangan besar 6-0 ke atas UITM HA-KPT.

 

Selepas empat perlawanan dilepasi, THT dilihat berdepan laluan berliku untuk mencabar gelaran Juara Liga ekoran mereka kini hanya mengumpul lima mata keseluruhan hasil satu kemenangan, dua seri dan satu tewas.

 

Pada pertemuan dengan TNB Thunderbolts di laman sendiri, THT dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat menerusi gol pukulan sudut penalti Dheeresh Gunaseelan, beberapa saat sebelum suku pertama berakhir.

 

THT bagaimanapun bangkit untuk menyamakan kembali kedudukan lima minit selepas suku kedua bersambung hasil sentuhan pemain import Afrika Selatan, Keenan Craig Horne yang tidak mensia-siakan kelebihan pukulan sudut penalti dimiliki mereka.

 

Bagaimanapun tiada sebarang tambahan jaringan menyusul daripada kedua-dua pasukan untuk mereka berpuas hati menutup perlawanan dengan berkongsi satu mata.

 

Bagi pengendali TNB Thunderbolts, Norsaiful Zaini Nasiruddin, peningkatan berjaya ditampilkan oleh anak-anak buahnya pada aksi kelima mereka hari ini dan taktikal serta percaturan yang direncana barisan kejurulatihan berjaya diterjemah dengan baik untuk mengikat THT.

 

“Walaupun perlawanan hari ini kami lebih banyak bertahan, namun usaha tidak mahu membuka ruang kepada THT dan menyerap serangan yang dilakukan mereka dilihat berhasil apabila kami tidak membenarkan lawan untuk menjaringkan gol tambahan.

 

“Kami turut melakukan beberapa serangan balas apabila memenangi bola namun kekurangan idea bagaimana untuk mengawal bola daripada mudah dicuri kembali lawan menyebabkan kami juga tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol.

 

“Selepas ini kami ada tempoh rehat yang panjang, jadi kami perlu memperbaiki kelemahan ketara yang dilihat ketika ini iaitu kerap kehilangan bola semasa melakukan serangan balas dan agak tumpul dibahagian penyudahan gol.

 

“Barisan kejurulatihan akan memberikan fokus untuk mempelbagaikan taktikal permainan dan bagaimana untuk cepat memahami corak permainan lawan agar kami dapat mengimbangi mereka dengan baik,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

 

Dalam pertemuan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pula, TNB Thunderstar turut melepaskan gol terlebih dahulu pada minit ke-16 menerusi jaringan padang Sun Jingran sebelum berjaya bangkit kedudukan dengan gol penyamaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-37.

 

Ketika perlawanan dilihat seakan hampir tamat dengan keputusan seri, jaringan kedua TNB Thunderstars hadir pada minti ke-54 selepas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memecah kebuntuan menambah jaringan menerusi gerakan padang.

 

Gol kemenangan yang juga ketiga TNB Thunderstars dihadiahkan oleh Azrai Aizad Abu Kamal sekali lagi pada minit ke-58, kali ini berpunca daripada kelebihan pukulan sudut penalti dan gol tersebut sekaligus mengesahkan tiga mata milik mereka.

 

Satu lagi aksi yang berlangsung jam 8:00 malam di venue yang sama, Maybank semakin garang memburu kelebihan gol serta menambah koleksi tiga mata, apabila menjadikan UITM HA-KPT mangsa mereka dengan ledakan enam gol tanpa bolos.

 

Bermula dengan gol seawal minit kedua oleh Muhammad Shahril Saabah, Mohamad Ashran Hamsani muncul penjaring hatrik dengan tiga gol gerakan padang minit ke-16, 47 dan 51 sementara dua lagi jaringan disumbangkan Muhammad Najmi Farizal Jazlan, hasil pukulan sudut penalti minit ke-26 dan 43.

 

Maybank yang telah menamatkan empat perlawanan kini dikedudukan teratas dengan 10 mata, diikuti TNB Thunderstars dengan 9 mata selepas tiga perlawanan dan THT dikedudukan ketiga dengan 5 mata.