Kemenangan Penting B18 Malaysia Buka Peluang Ke Separuh Akhir

Dua skuad hoki bawah 18 tahun (B18) tahun negara menunjukkan reaksi yang cukup positif apabila masing-masing melakar kemenangan yang amat penting dalam aksi kedua Piala Asia B18 2026 berlangsung hari ini.

 

Skuad B18 lelaki menang 3-2 ke atas naib juara edisi 2025, Pakistan sekali gus Kembali membuka peluang untuk mencabar kedudukan Kumpulan B dalam misi memburu slot ke separuh akhir.

 

Ketua jurulatih B18 lelaki, Mohd Harfizi Baharom berbangga dengan kebangkitan ditunjukkan anak-anak buahnya selepas tewas mengejut 2-4 kepada Bangladesh dalam aksi pembukaan di Stadium Hoki Kakamigahara, Jepun semalam.

 

“Hari ini mereka bermain bersungguh-sungguh, berdisiplin tinggi dan terjemahkan taktikal dirancang hingga kita berjaya mencapai kemenangan.

 

“Apabila kita mendahului 3-0, kita sedikit gugup, leka dan panik dalam situasi mengeluarkan bola yang mana memberi ruang kepada Pakistan menekan kita.

 

“Kita akan perbaiki kelemahan tersebut dan masa rehat sehari ini akan digunakan untuk memotivasikan pemain supaya mereka turun lebih bersemangat menentang China nanti,” jelasnya.

 

Kemenangan ke atas China dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 2 Jun ini secara automatic akan melayakkan skuad negara ke separuh akhir.

 

Dalam aksi tadi, Dheeressh Gunaselan membuka tirai jaringan menerusi penalti stroke pada minit ke-11 sebelum dia menyudahkan pukulan sudut penalti untuk meledak gol kedua Malaysia berselang empat minit kemudian.

 

Gol ketiga negara hadir melalui jaringan padang Muhammad Isyraf Shah Nor Amir pada minit ke-27, manakala dua gol Pakistan dihasilkan oleh Muzammil Saeed (m42) dan Muhammad Farhan Aslan (m60).

 

 

Skuad B18 wanita turut cemerlang apabila berpesta gol 13-0 membelasah Singapura dalam aksi kedua, membuktikan reaksi positif daripada barisan pemain selepas tewas tipis 1-2 kepada India semalam.

 

Pengendali B18 Wanita, Siti Amarina Ruhani akan merancang strategi terbaik buat pasukannya yang hanya memerlukan keputusan seri menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A pada 2 Jun ini untuk mara ke separuh akhir.

 

“Dua suku pertama kita terlalu mengikut rentak Singapura sebelum pemain bangkit untuk mencari ruang-ruang menjaringkan gol dengan lebih baik.

 

“Kita perlukan seri sahaja menentang Korea Selatan untuk kita layak. Jadi kita akan kenal pasti kelemahan dan kekuatan lawan supaya kita dapat berikan yang terbaik sekali gus layak ke separuh akhir,” jelasnya.

 

Nurfitrah Nadhia Shamsudin dan Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi berjaya meledak hatrik buat B18 Malaysia diikuti Nur Zariefah Dania Mazlan serta Nur Qashrina Azli yang masing-masing menghasilkan dua jaringan.

 

Baki tiga lagi gol Malaysia dihasilkan oleh Nur Hidayah Misra Othman, Khaleesya Zahra Khairul Fazly dan Aqhinatul Safiyyah Hashmi.