Skuad hoki bawah 18 tahun (B18) lelaki negara mengekalkan momentum cemerlang apabila menjadi pasukan pertama berjaya menyambar tiket ke separuh akhir Piala Asia B18 di Kakamigahara, Jepun.
Persembahan penuh disiplin daripada para pemain memastikan kemenangan 3-0 ke atas China dalam misi wajib menang pada aksi terakhir Kumpulan B hari ini.
Ketua jurulatih B18 lelaki, Mohd Harfizi Baharom memuji reaksi positif anak-anak buahnya kerana kembali menunjukkan prestasi sebenar dalam tempoh 30 minit terakhir hingga berjaya meraih tiga gol.
“Suku pertama dan kedua kita tak dapat bermain aksi sendiri tetapi kita betulkan semula pada waktu rehat dan selepas itu berjaya mendapatkan tiga gol.
“Pemain-pemain amat bermotivasi hari ini sebab kemenangan saja akan melayakkan mereka sebagai pasukan pertama ke separuh akhir.
“Syukur dapat melayakkan diri ke separuh akhir. Tanggungjawab semua pemain untuk menang, hasil kerja keras dan motivasi yang tinggi adalah kunci kejayaan ini,” katanya.
B18 Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan dan menjadi titik permulaan.
Berselang empat minit kemudian, Ahmad Idham Fikri Mohd Rizal menggandakan kedudukan dengan gol padang sebelum Harieq Hadief Mohd Fariq memastikan kemenangan 3-0 pada minit ke-57.

Nasib berbeza dialami B18 wanita apabila tewas 0-1 kepada Korea Selatan hasil gol tunggal penalti stroke Kwon Hayeon pada minit ke-29, sekali gus menafikan peluang ke separuh akhir.
Pengendali B18 wanita, Siti Amarina Ruhani tetap berpuas hati dan memberikan kredit kepada semua pemain di atas semangat juang yang diberikan sepanjang 60 minit.
“Mereka betul-betul bermati-matian untuk layak ke separuh akhir tapi hari ini keputusan tidak berpihak kepada pasukan,” jelasnya.
Ini bermakna mereka akan bermain dalam penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Jumaat ini.









