Skuad hoki bawah 18 tahun (B18) lelaki negara menamatkan kempen Piala Asia B18 2026 di kedudukan keempat selepas tewas 0-3 kepada Pakistan dalam penentuan pingat gangsa di Stadium Hoki Kakamigahara, Jepun hari ini.
Ketua jurulatih B18 lelaki negara, Mohd Harfizi Baharom tetap menghargai usaha dan komitmen barisan pemainnya yang tidak pernah berhenti mencuba walaupun berdepan situasi sukar sehingga wisel penamat.
“Kami bermula dengan positif, namun beberapa kesilapan menyebabkan kami dihukum Pakistan menggunakan serangan pantas mereka. Di peringkat antarabangsa ini, setiap kesilapan memberikan kesan besar.
“Kempen ini memberikan banyak pengajaran kepada pasukan. Kami melalui beberapa keputusan mengecewakan, termasuk tiga kekalahan tetapi pemain turut tunjukkan semangat juang dan keberanian untuk bersaing di pentas Asia,” katanya.
Dalam aksi terakhir hari ini, B18 Malaysia terpaksa akur tewas tiga gol kepada Pakistan hasil jaringan pukulan sudut penalty Uzair Ahmad Qureshi seawal minit ketiga, penalti stroke Haider Asam (m23) dan gol padang Adeel (m59).
Keputusan itu menyaksikan skuad muda negara tidak berjaya untuk menepati jangkaan berada di podium yang menyebabkan Harfizi sedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
“Kepada pemain, perjalanan anda masih panjang. Jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk terus bekerja keras dan kembali sebagai pemain yang lebih matang pada masa akan datang.
“Terima kasih kepada semua pemain, pegawai pasukan, keluarga, penyokong dan pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad ini sepanjang kejohanan,” jelas Harfizi.









