KHM Perkenal Playoff, Pastikan TNB MJHL 2026 Kekal Kompetitif

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2026 yang akan membuka tirainya dari 17 Jun hingga 19 Julai ini terus kompetitif dan berjalan rancak.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr Anil Sandhu berkata, penambahbaikan dilakukan buat kategori Divisyen 2 lelaki dan Divisyen Perempuan bagi menampilkan pasukan yang mempunyai kualiti lebih baik.

 

“Playoff telah diadakan dari 9 hingga 16 Jun di mana pasukan yang menamatkan saingan musim lalu di tangga terbawah dan pasukan baru mengambil bahagian musim ini melalui playoff terlebih dahulu.

 

“Kita tidak memandang kepada kuantiti pasukan tetapi lebih kepada kualiti pasukan yang beraksi. Kita juga tak mahu melemahkan semangat pasukan dengan keputusan tewas menerusi margin gol yang besar seperti apa yang berlaku pada musim lalu,” katanya.

 

Sebanyak sembilan pasukan termasuk SSTMI Junior dan Negeri Sembilan yang baru dinaikkan pangkat musim ini akan bersaing merebut kejuaraan MJHL Divisyen 1 yang dimenangi oleh SSTMI Thunderbolts musim lalu.

 

Saingan Divisyen 2 melibatkan 24 pasukan keseluruhan, dipecahkan dua bahagian dengan 16 pasukan (Central) dan 8 pasukan (Utara), manakala Divisyen Perempuan menyaksikan 16 pasukan musim ini.

 

Dua pasukan Divisyen 1 yang jatuh ke Divisyen 2 musim ini, MSNS/PHS/SSMS (Sabah) akan bermain di Kumpulan Utara dan Akademi Hoki MBPJ bakal beraksi di Kumpulan Central.

 

Dalam masa sama, KHM turut memberikan kepercayaan kepada 44 pegawai teknikal dan 35 pengadil bagi memastikan saingan berprestij TNB MJHL berlangsung penuh jaya.

 

Secara keseluruhan, 10 venue akan digunakan melihatkan tiga arena di Lembah Klang iaitu Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil; Stadium Hoki TNB Uniten dan Stadium Hoki UNIKL Bangi.

 

Lima lagi venue seperti Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan; Stadium Hoki Seremban 2; Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang; Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Stadium MBMB Bukit Serindit Melaka.

 

Baki 2 venue terakhir adalah Padang Hoki SDBL Johor dan Pahang Hoki SSTMI, Johor.