Skuad Hoki Lelaki Negara akur dengan kekuatan pasukan ranking ke-11 dunia, New Zealand apabila tewas 1-5 dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala Negara-Negara 2025-26 di Stadium Hartleyvale, Cape Town hari ini.
Ia secara tidak langsung menutup peluang Speedy Tigers ke separuh akhir apabila ketinggalan empat mata di belakang pasukan tempat kedua, Jepun dengan saingan peringkat kumpulan cuma berbaki satu perlawanan lagi.
Ketua Jurulatih Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan berharap anak-anak buahnya akan tampil dengan persembahan lebih positif menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A esok.
“Sejujurnya kecewa, kami bermula sangat perlahan dan melepaskan pukulan sudut penalti yang mudah. Kami perlu melihat semula perlawanan ini dan kenal pasti perkara-perkara kecil yang boleh diperbaiki.
“Kami perlu bangkit semula, memastikan kami bermain dengan lebih baik dan berharap dapat meraih keputusan positif menentang Korea,” katanya.
Saingan Piala Negara-Negara 2025-26 menjadi ujian terbaik buat Speedy Tigers untuk memperkemaskan segala kelemahan sebelum menghadapi kejohanan sebenar, Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September nanti.
“Fokus kami untuk tampil bagus di Sukan Asia. Itu tidak pernah berubah dan kekal sebagai matlamat utama pasukan. Kami perlu pastikan kami berada pada prestasi terbaik dalam tempoh tiga bulan ini.
“Jadi kami perlu tampil lebih baik dalam siri menentang Afrika Selatan juga di Piala Dunia nanti supaya pasukan berada pada tahap terbaik apabila tiba Sukan Asia nanti,” tambah Carolan.
Dalam aksi hari ini, skuad negara berjaya mengekang New Zealand daripada meledak gol sepanjang 15 minit pertama, namun situasi itu berubah apabila The Black Sticks menjaringkan tiga jaringan di suku masa kedua.
Tiga jaringan itu diperoleh menerusi dua pukulan sudut penalti Kane Russell pada minit ke-18 dan 27 serta satu gol padang Thomas Dylan pada minit ke-21.
Percubaan skuad negara untuk mengubah kedudukan menjadi semakin sukar apabila New Zealand berjaya menambah dua lagi jaringan selepas rehat melalui gol padang Isaac Houlbrooke dan Jonty Elmes pada minit ke-44 serta 51.
Gol sagu hati Speedy Tigers dalam aksi itu diperoleh hasil jaringan menarik daripada Mohamad Akhimullah Anuar Esook lima minit sebelum perlawanan tamat.









