Skuad Hoki SSTMI-PKS Uniten terus mengukuhkan dominasi mereka apabila menjuarai TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) kategori perempuan buat kali kelapan sejak 2016.
Kejayaan terbaru itu hadir menerusi kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan pada final edisi 2026 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ketua Jurulatih SSTMI-PKS Uniten, Mohd Khairul Izwan Kamdi gembira dengan mentaliti kemenangan yang ditunjukkan barisan pemainnya biarpun berdepan tentangan sengit daripada Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah kita sekali lagi berjaya mengekalkan kejuaraan pada tahun ini. Saya rasa kredit juga patut diberikan kepada Negeri Sembilan kerana memberikan tentangan yang sengit.
“Dah lama kami tak jumpa perlawanan yang sengit seperti ini dan ia satu benda yang bagus untuk perkembangan pemain-pemain muda. Namun, pemain saya berjaya kawal keadaan untuk menang perlawanan ini,” katanya.
Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh Nur Hidayah Misra Othman menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23.
Penjaga Gol SSTMI-PKS Uniten, Amirah Amni Amran juga layak diangkat sebagai wira pasukan itu apabila berjaya menyelamatkan penalti stroke daripada Negeri Sembilan di suku terakhir perlawanan.
“Saya amat berharap dia dapat menyelamatkan stroke itu dan Alhamdulillah ia menjadi kenyataan. Dia antara prospek masa depan untuk penjaga gol negara,” tambah Khairul Izwan.
Tempat ketiga TNBMJHL Perempuan 2026 dimenangi SSTMI-PKS Uniten Juniors yang menewaskan Akademi Hoki MBPJ 3-2 menerusi penentuan penalti shoot-out setelah terikat 1-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.









