Young Tigress Terus Mengaum Di Bumi Singapura

Barisan muda, Skuad Remaja Wanita Kebangsaan mengutip pengalaman berharga menentang Pasukan Senior Singapura walaupun mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi kedua Jelajah Singapura semalam.

 

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Wanita Kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan, aksi dengan Singapura, tumpuan utama diberikan diberikan kepada aspek daya tahan mental dan kebolehan pemain-pemain menangani tekanan tinggi di atas padang.

 

Menurutnya, ia satu proses yang amat penting buat anak-anak buahnya memandangkan Young Tigress turut dibarisi tujuh pemain muda berusia 16 tahun.

 

“Berbeza dengan perlawanan pertama di mana pasukan hanya memuncak pada suku ketiga, kali ini pemain bermula dengan sangat baik dan kita berjaya mendahului 3-0 dalam separuh masa pertama.

 

“Bermain dengan kekurangan pemain di bawah tekanan adalah satu pengalaman yang sangat baik bagi pemain muda. Mereka belajar bagaimana untuk menangani tekanan daripada pasukan lawan yang lebih senior.

 

“Apa yang membanggakan, walaupun kekurangan dua pemain kerana kad kuning, mereka tetap berani melakukan serangan balas. Ini menunjukkan tahap kesungguhan yang sangat tinggi dalam diri mereka,” katanya.

 

Menariknya, dua gol Skuad Remaja Wanita Kebangsaan dalam aksi itu dijaringkan oleh dua pemain berumur 16 tahun, Khaleesya Zahra Khairul Fazly dan Nur Fitrah Nadhia Shamsuddin.

 

Satu lagi jaringan diperoleh menerusi Nurdini Batrisyia Ridzuan, sekali gus mencatat kemenangan kedua ke atas Singapura selepas terdahulu menewaskan lawan tersebut 8-1 dalam perlawanan pertama.

 

Young Tigress akan meneruskan dua lagi aksi menentang Singapura pada 6 dan 7 Ogos ini yang mana ia adalah sebahagian persiapan ke Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China pada September nanti.