Speedy Tigers Beri Tekanan Walaupun Akur Tewas

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan membuktikan mereka mempunyai kualiti untuk menghasilkan jaringan dalam keadaan tertekan walaupun akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 4-7 kepada Ireland pada aksi Piala Dunia 2026 hari ini.

 

Ia adalah salah satu elemen positif ditunjukkan barisan pemain Speedy Tigers yang sama sekali tidak mudah berputus asa dan menyerah kalah meskipun mereka ketinggalan 0-4 terlebih dahulu kepada Ireland.

 

Dalam aksi klasifikasi Kumpulan H di Arena Hoki Belfius itu, skuad negara bolos tiga gol dalam tempoh 11 minit hasil dua jaringan Jonathan Lynch (m-8, m-12) dan satu daripada Matthew Nelson pada minit ke-19.

 

Jonathan Lynch melengkapkan hatriknya pada minit ke-24 untuk memastikan Ireland yang berada di ranking ke-10 dunia, terus selesa mendahului 4-0.

 

Azimuddin Syakir Kamaruddin memberikan harapan kepada Speedy Tigers bahawa perlawanan belum berakhir apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-29.

 

Bersambung babak kedua, giliran Amirul Hamizan Azahar meledak gol pada minit ke-36, namun Ireland sekali lagi meledak dua gol pantas menerusi John McKee (m-37) dan Matthew Nelson (m-39) untuk menjadikan kedudukan 6-2.

 

Anak-anak buah Brendon Carolan terus menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk cuba mengejar kedudukan meskipun ia dilihat sukar dan terhasil jaringan daripada Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-41.

 

Bagaimanapun, gol pukulan sudut penalti daripada Benjamin Walker mengesahkan kemenangan buat Ireland dengan gol ketujuh pada minit ke-54 walaupun seminit kemudian Faizal Saari meledak gol keempat Malaysia.

 

Cubaan demi cubaan Speedy Tigers dalam tempoh lima minit terakhir untuk mencari tiga lagi gol tidak berjaya dan perlawanan tamat dengan kedudukan 7-4.

 

Skuad negara akan meneruskan aksi terakhir Kumpulan H yang merupakan klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 pada 23 Ogos ini.