Ketua Jurulatih Skuad Remaja Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menuntut para pemain bangkit menunjukkan reaksi balas yang lebih positif untuk aksi ketiga Kumpulan Elit Piala Remaja 2026 menentang Korea Selatan esok.
Ia susulan kekalahan kedua dialami Young Tigresses dalam kempen di Moqi, China, termasuk tewas 1-11 kepada India dalam perlawanan kedua hari ini.
Menurut Nasihin, China yang menewaskan mereka 1-6 ketika aksi pembukaan, dan India sememangnya lawan berkualiti dan antara pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan berdasarkan status mereka sebagai finalis edisi 2024.
“Esok kita akan mula daripada kosong kerana kita tahu China dan India di tahap yang berbeza. Kita akan janjikan persembahan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya.
“Jadi lawan Korea Selatan esok adalah masa untuk kita buktikan. Saya mahu pemain-pemain lebih fokus dan positif untuk buktikan bahawa Malaysia boleh menang perlawanan esok,” katanya.
Menentang India hari ini, India yang turun sebagai juara bertahan dua edisi berturut-turut, ternyata berada dalam kelas tersendiri termasuk meraih dua gol penalti stroke, empat gol padang dan lima daripada pukulan sudut penalti.
Jaringan tunggal Young Tigresses pula diperoleh menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi.
Mengulas lanjut, Nasihin menyifatkan perasaan gugup dan terlalu menghormati pihak lawan selain memberikan India banyak pukulan sudut penalti antara punca utama kekalahan hari ini.
“India jauh lebih baik, mereka pasukan berpengalaman, mempunyai ramai pemain di Eropah dan boleh dikatakan kuat daripada segala sudut. Namun, kita tahu kualiti kita tetapi hari ini banyak kesilapan tak sepatutnya dilakukan.
“Pemain juga nampak agak gugup hari ini, tidak sama ketika kita melawan China. Namun begitu kita masih berjaya melakukan serangan dan menghasilkan satu gol,” tambah Nasihin.









