Young Tigresses Lebih Positif, Namun Akur Kepada Korea Selatan

Skuad Remaja Wanita Kebangsaan menunjukkan prestasi yang lebih positif berbanding dua aksi awal Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China meskipun tewas 0-1 kepada Korea Selatan hari ini.

 

Namun, nasib seakan tidak menyebelahi Young Tigresses untuk mengutip tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan Elit apabila tewas hasil gol tunggal daripada Park Soyeon pada minit ke-45.

 

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tetap berpandangan positif selepas menyaksikan reaksi balas yang baik daripada anak-anak buahnya walaupun keputusan akhir tidak memihak mereka.

 

“Mereka bangkit selepas kalah dengan India. Walaupun tak menang, namun penguasaan bola dan pembinaan serangan dari bawah serta tekanan yang tinggi diberikan oleh pemain-pemain adalah jauh lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini,” katanya.

 

Terdapat beberapa aspek positif ditunjukkan pasukan yang sebelum ini tewas kepada dua finalis musim lalu, 1-6 kepada China dan 1-11 di tangan juara bertahan, India.

 

Young Tigresses akan melengkapkan aksi Kumpulan Elit menentang Jepun pada Rabu ini bagi menentukan kedudukan akhir sebelum beraksi di peringkat suku akhir.

 

“Kita memerlukan semangat serta keyakinan hari ni dibawa menentang Jepun dan seterusnya suku akhir. Saya bangga dengan persembahan dan semangat ditunjukkan yang manaia selari dengan perancangan jangka panjang,” jelas Nasihin.

 

Berdasarkan kedudukan semasa, Skuad Remaja Wanita Kebangsaan berkemungkinan besar menamatkan aksi di tempat kelima sama ada menang atau kalah ke atas Jepun nanti.

 

Ini bermakna Young Tigresses akan berdepan pasukan tempat keempat Kumpulan Elit di suku akhir pada Khamis ini.

 

Perlawanan suku akhir itu amat penting buat Young Tigresses kerana ia akan menentukan peluang sama ada layak ke Piala Dunia Remaja 2027.