Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan berjaya menepati sasaran awal layak ke Piala Dunia Remaja 2027 selepas melangkah ke pentas separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 dengan menewaskan tuan rumah China 1-0 hari ini.
Pujian juga harus diberikan kepada semua pemain terutamanya barisan pertahanan Young Tigers kerana berjaya menangkis setiap serangan China bagi mempertahankan kelebihan 1-0 sepanjang aksi di Pusat Latihan Moqi itu.
Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan ia satu pengalaman cukup berharga buat anak-anak buahnya yang rata-ratanya akan membuat penampilan pertama di pentas separuh akhir.
“Sebenarnya kita bermain bagus dalam tiga suku masa permainan tetapi sama macam aksi menentang Pakistan, kita tak lengkapkan peluang-peluang untuk jaring gol.
“Kita juga kehilangan seorang pemain yang dikenakan 10 minit kad kuning kerana kekasaran. Jadi kita tahu China akan datang tetapi kita mampu bertahan hingga wisel penamat dan menang 1-0.
“Saya fikir ia satu pengalaman yang baik buat pemain kerana bermain 10 orang dalam masa 10 minit terakhir di perlawanan penentuan untuk masuk separuh akhir. Mereka belajar dan pengalaman baharu juga buat ramai pemain,” katanya.
Young Tigers meraih gol seawal minit kelapan menerusi jaringan padang Muhammad Safwan Salihe dan kekal sehingga tamat perlawanan biarpun Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill dikenakan kad kuning pada minit ke-49.
Selepas ini, Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan yang muncul naib juara Kumpulan B akan berdepan juara Kumpulan A, India untuk aksi separuh akhir pada Jumaat ini.
Biarpun India memegang status selaku juara bertahan tiga edisi terakhir, namun ia bukan sesuatu yang mustahil buat barisan pemain negara mencipta kejutan mara ke pentas final.
“Kita dah lima kali lawan India (aksi Jelajah India 2026), mereka pasukan yang bagus dan aksi terakhir kalahkan Jepun 7-3. Namun, kita pergi dengan misi untuk menang dan kita akan cuba tutup kelebihan mereka,” jelas Nor Saiful.









