Young Tigresses Ada Potensi, Perlukan Lebih Sokongan

Skuad Remaja Wanita Kebangsaan mempunyai ramai bakat berpotensi besar tetapi mereka memerlukan lebih sokongan dalam usaha menjadi sebuah pasukan yang mantap di masa depan.

 

Perkara itu diakui Ketua Jurulatih Skuad Remaja Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim selepas kekalahan 1-2 kepada Bangladesh dan menutup kempen Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China di tempat keenam hari ini.

 

Secara keseluruhan, Young Tigresses menunjukkan peningkatan daripada perlawanan pertama hingga terakhir, namun masih kurang dari segi kekuatan dan kecergasan yang diperlukan di peringkat antarabangsa seperti pentas Asia.

 

“Pemain dah cuba tetapi tak bernasib baik kerana selain keputusan pengadil, kita tak ambil peluang. Kita perlu teruskan sebab banyak peningkatan daripada skuad muda kita yang dibarisi ramai pemain 16 tahun.

 

“Mereka boleh bermain hoki tetapi kekurangan dari segi kecergasan dan kekuatan buatkan kita tak dapat manfaatkan banyak peluang. Untuk bertanding di peringkat antarabangsa, pasukan remaja ini memerlukan sokongan.

 

“Kami tidak akan berhenti di sini, kami akan berusaha lebih kuat sebab pasukan ini mempunyai ramai bakat yang berpotensi,” katanya.

 

Dua gol Bangladesh diperoleh menerusi penalti stroke Sharika Rimon dan jaringan padang Kona Akter masing-masing pada minit ke-31 serta 50.

 

Young Tigresses berjaya menghasilkan satu gol menerusi jaringan padang Irdina Humaira Jeffrey seminit sebelum perlawanan tamat, namun ia sudah terlambat untuk mengubah kedudukan itu.