Young Tigers Keempat Terbaik Piala Remaja Asia 2026

Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan menamatkan saingan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China sebagai pasukan keempat terbaik.

 

Hasrat Young Tigers untuk menamatkan penantian podium selama 14 tahun sejak 2012 pada edisi kali ini tidak berhasil selepas tewas 2-4 kepada Pakistan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat semalam.

 

Bagaimanapun, objektit utama skuad muda negara pada kejohanan berprestij Asia itu tercapai iaitu menyambar salah satu tiket ditawarkan untuk beraksi di pentas Piala Dunia Remaja 2027.

 

Dalam aksi itu, pasukan bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin tersebut bermula baik dengan mendahului 2-0 dalam suku masa pertama.

 

Dua gol itu dijaringkan dalam tempoh dua minit menerusi jaringan padang Adam Ashraf Johari dan pukulan sudut penalti Shafiq Ammar Fahmi Suzaini, masing-masing pada minit ke-11 serta 13.

 

Bagaimanapun, kelebihan dua gol itu tidak bertahan lama apabila Pakistan bangkit mengikat kedudukan 2-2 hasil dua jaringan padang Rana Abdul Sami pada minit ke-34 dan 47.

 

Pakistan memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan tambahan dua lagi gol, kali ini melalui pukulan sudut penalti Muhammad Shaheer pada minit ke-52 dan penalti stroke daripada Waleed Rana ketika aksi berbaki empat minit lagi sebelum tamat.

 

Ia sekali gus menyaksikan Young Tigers mengulangi pencapaian dua edisi terdahulu dengan meraih tempat keempat pada 2023 dan 2024.

 

Kali terakhir Malaysia menaiki podium ketika menjuarai kejohanan itu di Melaka pada 2012.