Perak Rampas Gelaran Juara TNB Piala Tun Abdul Razak Edisi Ke-64

Perak memastikan trofi kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak (TARC) bagi edisi 2026 kembali menjadi milik mereka selepas menewaskan juara bertahan, Terengganu 2-1 di final di Stadium Hoki Pandamaran (MBDK), Klang, semalam.

 

Ia sekali gus menjadi amaran awal daripada Perak bahawa mereka bersedia untuk kembali memegang status gergasi hoki tanah air.

 

Ketua jurulatihnya, Manjit Singh Prem Singh berpuas hati kerana anak-anak buahnya masih berjaya merealisasikan impian bergelar juara meskipun hanya sempat membuat persediaan dalam tempoh yang singkat.

 

“Pemain SUKMA kami ada lima sahaja, baki 13 lagi dah biasa bermain untuk Perak. Jadi untuk final, kami banyak lakukan sesi video untuk kaji permainan Terengganu.

 

“Sebenarnya pemain senior banyak beri motivasi kepada pemain-pemain muda kerana ada di antara mereka baru kali pertama beraksi untuk Piala Tun Abdul Razak.

 

“Jadi kalau tanya perancangan selepas ini, sudah tentu kami nak jadi juara berturut-turut dan mempertahankan kejuaraan ini seperti dahulu,” katanya.

 

Perak memenangi aksi final itu hasil dua jaringan daripada Muhammad Amirul Haniff Mamat pada minit ke-11 dan 43, sementara gol tunggal Terengganu dihasilkan oleh Muhammad Firhan Ashari di penghujung perlawanan.

 

Kali terakhir Perak mendakap trofi selaku juara TNB TARC adalah ketika edisi 2022 dengan menewaskan Pahang 5-2 di pentas final.

 

Sementara itu, Perlis melengkapkan penamat podium hasil kemenangan 3-2 ke atas Pahang menerusi penentuan penalti shoot-out setelah terikat 1-1 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.