Young Tigers Buka Kempen SOJC 2026 Dengan Kemenangan

Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan China 3-0 dalam aksi pertama di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru hari ini.

 

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang berjaya mengutip tiga mata penuh, namun mengakui kecewa apabila banyak peluang jaringan gagal disempurnakan.

 

Beliau berkata, kegagalan memanfaatkan peluang terhidang boleh memberi kesan kepada kedudukan pasukan sekiranya terikat mata dengan pencabar lain menjelang aksi kedua menentang Jepun pada Selasa ini.

 

“Kita dapat tiga mata dan saya berpuas hati. Cuma saya tidak puas hati kerana terlalu banyak peluang gol yang kita lepaskan.

 

“Jika kita seri menentang Jepun nanti, jumlah jaringan mungkin menjadi penentu. Mereka sudah menjaringkan lapan gol, jadi kita perlu menang menentang Jepun,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain yang disifatkan menunjukkan perkembangan positif, terutama dari segi struktur permainan.

 

Menurutnya, pemain-pemain muda itu semakin memahami corak permainan yang diterapkan skuad kebangsaan, sekali gus memudahkan proses peralihan mereka ke peringkat senior pada masa depan.

 

“Selebihnya, saya gembira dengan pemain-pemain saya. Mereka bermain dengan baik dan inilah pemain-pemain yang akan meningkat ke peringkat seterusnya.

 

“Struktur permainan mereka sudah menyerupai skuad kebangsaan. Jadi, lebih mudah untuk mereka melangkah ke tahap seterusnya bagi menjadi pemain kebangsaan,” katanya.

 

Dalam aksi hari ini, skuad Young Tigers bermula cemerlang dengan gol pembukaan seawal minit kelima daripada kapten, Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof menerusi pukulan sudut penalti.

 

Malaysia sepatutnya meraih gol kedua lebih awal tetapi penalti stroke Muhammad Safwan Salihe diselamatkan penjaga gol sebelum Nabil Irfan menyudahkan pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-28.

 

Lama menanti, akhirnya Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan berjaya mendapat gol ketiga menerusi jaringan padang Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill pada minit ke-57.