Pasukan hoki negara mahu memburu kemenangan sulung apabila turun bertemu pasukan Jepun dalam aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah 2017 yang bakal membuka tirainya di Stadium Hoki Sultan Azlah Shah, Perak malam esok.
Kapten negara, Mohd Sukri Mutalib berkata kemenangan esok adalah penting kerana ia mampu menyuntik semangat pasukan Malaysian Tigers dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-26 ini.
Sukri berkata, “Kalau boleh perlawanan esok memang kita mahu menang kerana Jepun berada di ranking lagi bawah berbanding kita. Apapun mereka bukan lawan yang mudah kerana memiliki kekuatan yang tersendiri. Jadi dalam masa yang sama kita juga perlu berwaspada dengan mereka terutamanya dari segi serangan balas dan kepantasan.
“Tiga mata pertama perlu dicari esok kerana ia adalah moral penting kepada pasukan untuk menghadapi lawan seterusnya dalam Piala Sultan Azlan Shah. Lawan selepas Jepun juga pastinya semakin mencabar. Jadi tiga mati perlu dicari esok untuk menaikkan semangat pasukan,” kata kapten negara itu.
Selain itu, Sukri juga menuntut komitmen seratus peratus daripada rakan sepasukan untuk tidak menghampakan penyokong yang bakal hadir memberikan sokongan kepada pasukan negara.
“Saya harap saya dan juga rakan sepasukan lain akan tampil konsisten dari awal perlawanan hingga ke akhir perlawanan untuk hadiahkan kemenangan kepada penyokong esok. Tiada apa paling penting selain tiga mata penuh,” ujar pemain berasal dari Perak itu.
Dalam perlawanan esok, Malaysia di ranking ke-14 dunia bakal memulakan cabaran Piala Sultan Azlan Shah bertemu pasukan Jepun yang berada di ranking ke-16 dunia ketika ini.
Pada kejohanan sama tahun lalu, Australia muncul juara setelah mengenepikan India 4-0 dalam aksi final. Pasukan negara pula terpaksa berpuas hati di tangga keempat setelah tumpas kepada New Zealand dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Piala Sultan Azlan Shah 2017 yang bermula esok sehingga 6 Mei ini menampilkan enam pasukan handalan dunia iaitu Malaysia, Australia, Great Britain, India, Jepun dan juga New Zealand.









