Piala Sultan Azlan Shah 2017: Australia Atasi Malaysia

Pasukan hoki kebangsaan berdepan cabaran getir apabila turun bertemu pasukan ranking nombor dua dunia, Australia dalam aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah sebentar tadi.

Biarpun Malaysian Tigers cuba mengimbangi asakan Australia tetapi pasukan itu berjaya memperoleh gol pertama menerusi sentuhan gol padang Tom Craig yang melakukan pukulan kencang dalam kawasan D selepas menerima hantaran daripada Matt Dawson pada minit ke-11.

Selang seminit kemudian, pasukan negara memperoleh peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila dua kali dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun tidak berjaya menemui penyudahan yang sempurna.

Walaupun diasak Australia, pasukan Malaysian Tigers yang menerima sokongan padu penyokong hampir-hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila Haziq Samsul berjaya menolak masuk gol selepas pukulan sudut penalti namun ia dibatalkan pengadil.

Pada minit ke-22, Australia sekali lagi berjaya mendapatkan gol kedua untuk selesa mendahului Malaysia. Jaringan gol padang itu hadir menerusi Trent Mitton yang menerima umpanan daripada Tom Craig.

Tidak cukup dengan itu, pada minit ke-27 Australia terus menambah gol ketiga kali ini juga menerusi gol padang daripada Trent Mitton untuk kedudukan 3-0 mendahului Malaysia. Keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Di babak kedua, Australia yang juga juara bertahan Piala Sultan Azlan Shah terus mengukuhkan kedudukan mereka selepas Tom Craig memukul kencang gol padang untuk kedudukan 4-0 pada minit ke-38.

Malaysia yang tidak berputus asa terus berusaha mencari gol pertama dan usaha itu berhasil apabila Faizal Saari berjaya menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-42 untuk merapatkan jurang kedudukan kepada 1-4.

Seminit sebelum berakhir suku ketiga permainan, Australia dihadiahkan pukulan sudut penalti dan Tom Craig sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menjaringkan gol kelima pasukannya yang juga hatrik untuk dirinya dalam perlawanan ini.

Gol keenam Australia hadir lagi menerusi gol padang Trent Mitton yang mudah menolak masuk gol di depan gawang Malaysia pada minit ke-58. Gol tersebut juga adalah hatrik untuk pemain itu dalam perlawanan ini. Kedudukan 6-1 kekal hingga tamat permainan.

Dalam pada itu, aksi di sebelah petang menyaksikan India menang ke atas New Zealand 3-0 manakala pasukan Great Britain mengatasi Jepun dengan keputusan 5-3.