Malaysia Gagal Sekat New Zealand

Pasukan negara gagal menyekat pasukan New Zealand selepas mereka tewas 1-0 kepada Black Sticks dalam perlawanan keempat saingan Piala Sultan Azlan Shah 2017 di Stadium Hoki Azlan Shah sebentar tadi.

Perlawanan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan yang pernah bertemu dalam aksi ujian sebelum ini dilihat lebih berhati-hati dalam mengatur serangan.

Bagaimanapun, pasukan negara hampir berada di depan tiga minit sebelum tamat suku pertama, namun pukulan kencang daripada Tengku Ahmad Tajuddin sedikit tersasar.

Di suku kedua, pasukan New Zealand berjaya mencipta jaringan pada minit ke-17 hasil satu tolakan gol padang tetapi gol itu tidak disahkan oleh pengadil bertugas.

Pada minit ke-24, kesilapan pertahanan New Zealand yang menjatuhkan Faizal Saari meyebabkan pengadil menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Malaysia, namun pemain Malaysia gagal menyudahkan peluang tersebut dan satu lagi pukulan sudut penalti yang diberikan selepas itu juga tidak berjaya menggegar gawang gol New Zealand.

Selang seminit kemudian, giliran pasukan New Zealand pula diberikan pukulan sudut penalti pertama yang juga menghasilkan gol pertama dengan tolakan mudah oleh Kane Russell untuk meletakkan pasukan itu mendahului Malaysia 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pasukan negara terus menggandakan asakan di separuh masa kedua bagi memburu gol penyamaan. Pada minit ke-40, Malaysia sekali lagi memperoleh peluang apabila mendapat pukulan sudut penalti.

Kali ini nasib sekali lagi tidak menyebelahi pasukan Malaysia apabila pukulan kencang daripada Shahril Saabah hasil pukulan sudut penalti tersebut sekadar singgah di palang gol meskipun penjaga gol New Zealand sudahpun tertewas.

Gerakan solo Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-43 memaksa pertahanan New Zealand menjatuhkannya dalam kawasan D. Namun pukulan sudut penalti yang diberikan pengadil sekali lagi gagal menemui jaringan penyamaan.

Dalam 15 minit terakhir perlawanan, Malaysia jelas lebih banyak menguasai permainan dan lebih banyak melakukan serangan. Sayangnya, ketumpulan penyudah menggagalkan Malaysian Tigers daripada sekurang-kurangnya mengutip satu mata menentang pasukan tangga ke-8 dunia ini.

Berakhir perlawanan keempat saingan Piala Sultan Azlan Shah 2017, pasukan negara masih belum mencatatkan kemenangan. Mereka tewas kepada Australia dan Great Britain serta seri ketika bertemu Jepun dalam aksi sebelum ini.