Dharma Positif Dengan Mutu Permainan Dipamerkan Malaysian Tigress

Tewas tipis 2-3 kepada kelab dari Belanda, Hurley dalam perlawanan persahabatan ketiga yang berlangsung awal pagi tadi nyata tidak meresahkan pengedali pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah.

Jurulatih itu sebaliknya positif dengan mutu permainan yang ditunjukkan oleh anak buahnya sebagai persediaan menghadapi ujian sebenar, Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang bakal bermula pada 21 Jun ini menentang Australia.

Dharma berkata, “Hurley adalah satu pasukan kuat yang dalam divisyen Hofferklasse. Mereka adalah pasukan berkualiti yang berada pada kedudukan enam terbaik.

“Bagi saya, kejayaan mendapatkan 8 pukulan sudut penalti berbanding lawan yang hanya memperoleh tiga pukulan sudut penalti adalah sesuatu yang baik untuk pasukan,” kata Dharma ketika dihubungi.

Tambah Dharma, satu lagi perlawanan yang bakal berlangsung di Belgium selepas ini akan digunakan sebaiknya untuk menyesuaikan pemainnya dengan permukaan padang di negara itu.

Dia berkata, “Paling penting, kami berjaya mencipta beberapa serangan berbahaya, kita boleh mencipta banyak peluang apabila berhadapan dengan pasukan kuat seperti ini. Ini adalah perlawanan persahabatan terkahir kita di sini sebelum berlepas ke Belgium dan akan menentang pasukan kebangsaan B-21 negara itu pada 19 Jun nanti sebagai satu lagi pemanas badan,”kata Dharma.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Malaysian Tigress mencatatkan dua kemenangan berturut-turut menewaskan HIC 3-0 dan PINOKE 4-2. Dalam Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Australia, Sepanyol, Belgium, dan New Zealand.