Dharma Mahu Pasukan Hoki Wanita Turun Beraksi Penuh Yakin

Ketua jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah tidak mahu anak buahnya terlalu menghormati pasukan lawan menjelang perlawanan sulung bertemu Australia dalam Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia malam esok.

Jurulatih yang sudah lebih setahun bersama skuad Malaysian Tigress itu mahu pemainnya beraksi habis-habisan dan baginya ranking tinggi bukanlah sesuatu alasan untuk pasukannya memberikan tentangan sengit.

Dharma berkata, “Kami tidak akan bermain secara bertahan hanya kerana mereka semua adalah pasukan yang berada pada ranking yang tinggi. Kami tidak akan takut hanya kerana mereka adalah pasukan yang mempunyai reputasi baik.

“Jika mereka fikir pasukan kita adalah pasukan kerdil, kami menerimanya. Tetapi kami tidak akan peduli dan mahu buktikan bahawa kami juga mampu bermain dengan bagus. Kami mahu dunia tahu yang kami juga memiliki pemain dan pasukan yang handal. Walau apapun keputusan nanti, paling penting kami akan berjuang habis-habisan,” kata Dharma.

Dharma turut gembira dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pemainnya meskipun mengakui agak sukar bagi mendapatkan pasukan negara lain untuk perlawanan persahabatan.

Dia berkata, “Saya telah bersama dalam pasukan ini selama 18 bulan, pasukan ini telah meningkat setiap hari. Dalam perlawanan menentang B-21 Belgium, kami memperoleh 7 pukulan sudut penalti berbanding lawan yang hanya mendapat 1 pukulan sudut penalti. Kami juga memiliki begitu banyak peluang tetapi gagal menterjemahkannya kepada jaringan.

“Saya suka cara pasukan ini dibentuk. Saya suka disiplin pasukan. Mereka adalah satu pasukan yang sangat rajin, sangat fokus dan sentiasa dahagakan kejayaan. Setiap jurulatih akan gembira melatih pasukan seperti ini,” tambah Dharma lagi.

Dalam Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Australia, Sepanyol, Belgium, dan New Zealand.

Recent Posts

Leave a Comment