
Pasukan hoki wanita negara mengakhiri perlawanan keempat yang juga aksi terakhir mereka dalam kumpulan B Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium dengan kekalahan tipis 0-1 kepada New Zealand sebentar tadi.
Malaysian Tigress sebelum ini telahpun tewas dalam tiga perlawanan kepada Australia, Sepanyol dan Belgium sekaligus memaksa mereka mencari keajaiban ketika aksi menentang New Zealand untuk ke suku akhir.
Bagaimanapun, ianya bukan sesuatu yang mudah untuk skuad negara untuk menewaskan pasukan New Zealand yang juga merupakan pasukan ranking ke-5 dunia disamping memerlukan jumlah jaringan besar untuk mara.
Pasukan New Zealand membuka jaringan seawal pada minit ke-4 menerusi jaringan padang Olivia Merry yang berjaya mengambil kesempatan ke atas kelekaan pertahanan negara untuk mendahului pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah 1-0. Kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Di babak kedua, New Zealand terus menguasai perlawanan sambil melancarkan beberapa serangan berbahaya namun gagal menjaringkan gol. Penjaga gol negara, Farah Ayuni juga bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya pemain penyerang New Zealand sekaligus jaringan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Pasukan negara akan membuat perhitungan dalam penentuan tempat ke 9/10 bertemu Scotland yang menduduki kedudukan tercorot kumpulan A pada 29 Jun ini sebelum berlepas pulang ke tanah air.