Skuad Pembangunan 2020 kini dalam fasa keempat persediaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Sultan Johor (SoJC) 2017 yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober di Stadium Hoki Taman Daya.
Menurut Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia, Terry Walsh, seramai 36 pemain dipanggil untuk menjalani sesi latihan dan jumlah tersebut akan dikecilkan kepada 18 pemain untuk menyahut cabaran yang berlangsung di Johor nanti.
Jelas Terry: “Skuad persediaan ke SoJC kini berada di fasa latihan keempat dan kami mempunyai lebih kurang 36 pemain yang menjalani latihan dan semestinya jumlah itu akan berkurang kepada 18 pemain.
“Dengan kredibiliti yang dimiliki oleh Nor Saiful Zaini dan Wallace Tan, mereka berkerja keras untuk mempersiapkan pasukan ini dan satu lagi fasa latihan akan berlangsung seminggu sebelum kejohanan bermula di Johor, di mana pemain akan dikumpulkan di Johor untuk fasa latihan terakhir sebelum kejohanan bermula dan semestinya kami memiliki pasukan yang terbaik untuk menghadapi cabaran tersebut,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terhadap kejohanan tahun ini, Terry menjelaskan KHM cuba untuk menggunakan kedudukan ranking pasukan senior sebagai penanda aras bagi skuad 2020 ini menamatkan cabaran.
Terry berkata: “Sasaran merupakan sesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan. Kami cuba untuk menjadikan kedudukan ranking pasukan senior sebagai kayu pengukur di mana skuad ini patut menamatkan kejohanan dan mereka pastinya akan mencuba untuk menamatkan kejohanan di kedudukan terbaik.
“Bagaimanapun, kami realistik di mana kedudukan kami dan perlu diingatkan kami kini sedang mempersiapkan pasukan ini bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia Remaja 2020.
“Selain itu, Kami juga cuba untuk melakukan sedikit perubahan dalam pemilihan pemain kerana salah satu kelemahan yang dikenalpasti dalam arena hoki di Malaysia adalah kebolehan untuk memimpin di atas padang dan jika kami memilih pemain yang berada dalam lingkungan usia yang sama ia mungkin sedikit rumit.
“Kami memilih pemain dari lingkungan 17 hingga 21 tahun jadi pemain yang lebih muda dapat belajar sifat kepimpinan di atas padang daripada pemain yang lebih senior,” tambahnya.
Terry juga yakin bahawa Skuad Pembangunan 2020 telah bersedia untuk menghadapi cabaran SoJC dan meletakkan keyakinan bahawa pemain-pemain akan memberikan persembahan yang berkualiti pada kejohanan itu nanti.
Terry menambah: “Saya yakin skuad yang sedia ada kini telah bersedia untuk mengambil cabaran SoJC dan sedang dalam fasa untuk memperbaiki corak permainan agar menjadi lebih baik.
“Tenaga kejurulatihan telah melakukan tugas dengan sebaiknya untuk mencantikkan lagi corak permainan pasukan dan bagaimana hasilnya adalah sangat menarik untuk disaksikan.
“Bagaimanapun usaha untuk mencantikkan corak permainan pasukan tidak mengambil masa seminggu atau dua tetapi mengambil masa beberapa bulan dan iya pemain telah bersedia untuk mengambil cabaran tersebut serta memberikan permainan yang berkualiti.”