Piala Sultan Johor 2017: Malaysia Masih Mencari Kemenangan Pertama

Impian Skuad Hoki B-21 negara untuk meraih kemenangan pertama dalam perlawanan Piala Sultan Johor 2017 (SOJC) masih tidak berkesampaian apabila diikat 1-1 oleh Jepun pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bharu, semalam.

Skuad kendalian Wallace Tan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minti ke-17 selepas Akhimullah Anuar yang tidak dikawal bijak untuk menggunakan situasi tersebut memukul bola ke gawang lawan sekaligus menewaskan penjaga gol Jepun, Yusuke Takano.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Kyoichi Nagaya tidak berputus asa dengan menggandakan asakan untuk mencari jairngan penyamaan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-32 selepas Takumi Ineyama menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Walaupun skuad negara terus menggandakan usaha untuk melebarkan kedudukan, namun ketumpulan jentera serangan menidakkan usaha mereka dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Masalah ketumpulan bahagian serangan itu juga diperakui oleh Pengurus Pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang mempercayai masalah ketumpulan jentera serangan itu sedang diperbaiki oleh anak-anak buahnya menjelang perlawanan menentang Amerika Syarikat, petang ini.

“Kalau dilihat secara keseluruh, pemain-pemain telah menunjukkan aksi yang terbaik dalam tiga perlawanan yang telah kami lalui.

“Bagaimanapun, penyudahan yang tumpul menjadi penghalang untuk kami mencari jaringan yang lebih banyak dan kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu dan akan berusaha terus untuk meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan.

“Apa yang pasti, perlawanan menentang Amerika Syarikat kami perlu bermain dengan tenang dan merencanakan strategi untuk menjaringkan gol,” jelas Nor Saiful ketika dihubungi.

Berikut merupakan jadual perlawanan yang akan berlangsung hari ini (26 Oktober 2017)

India mln Australia (4.05 petang)
Malaysia mln Amerika Syarikat (6.05 petang)
Jepun mln Great Britain(8.05 malam)
*Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru