Skuad bimbingan Wallace Tan akhirnya berjaya untuk memecah kebuntuan mencari kemenangan sulung dalam Kejohanan Piala Sultan Johor 2017 selepas berpesta gol menewaskan Amerika Syarikat 18-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bharu, semalam.
Skuad b-21 tahun negara turun beraksi pada perlawanan keempat dengan motivasi yang cukup tinggi untuk mencari kemenangan selepas tewas dua perlawanan pertama bertemu Great Britain dan India sebelum mengikat Jepun dengan keputusan seri pada perlawanan ketiga.
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang juga merupakan kapten pasukan muncul selaku penjaring terbanyak dalam perlawanan tersebut apabila meledak lima gol pada minit keempat, kelima, 21, 22 dan 59.
Dalam pada itu, Mohamad Akhimullah Anuar Esook turut tidak melepaskan peluang untuk mencatat nama sekalu penjaring apabila menyumbang empat jaringan pada minit keenam, 23, 41 dan 56.
Mohammad Firdaus Omar dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal turut menjadi penyumbang kepada enam lagi gol apabila masing-masing menjaringkan tiga gol. Gol Firdaus Omar disumbangkan pada minit ke-18, 32 dan 54 sementara Azrai Aizad meledak gol pada minit ke-33, 50 dan 55.
Lain-lain jaringan skuad negara masing-masing satu gol menerusi Muhammad Hafiizhuddin Zaidi pada minit ke-17, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran pada minit ke-40 dan Muhammad Shafiq Hassan pada minit ke-58.
Kemenangan yang diledak oleh skuad negara nyata mengembirakan Pengurus Pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang berpandangan pemain sudah mula mendapatkan rentak untuk menjaringkan gol dan misi berikutnya adalah untuk mencabar kedudukan ketiga dan keempat.
“Pemain sudah mula mendapatkan rentak mereka dalam usaha untuk menghasilkan jaringan. Saya mahu pemain-pemain mengekalkan rentak tersebut dalam perlawanan seterusnya iaitu menentang Australia, esok.
“Kami memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri ketika bertemu Australia dan keputusan itu nanti akan memudahkan kami untuk melangkah ke penentuan kempat ketiga dan keempat. Jika tewas, perbezaan jaringan dengan Jepun akan diambil kira untuk menentukan siapa yang akan layak beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat,” jelasnya.
Berikut merupakan jadual perlawanan yang akan berlangsung esok (28 Oktober 2017)
Great Britain mln India (4.05 petang)
Australia mln Malaysia (6.05 petang)
Jepun mln Amerika Syarikat (8.35 malam)
*Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru









