Piala Sultan Johor 2017: Malaysia Jumpa India dalam Penentuan Tempat ke-3 dan Ke-4

Pasukan hoki remaja negara tidak mampu menghalang kemaraan Australia apabila tewas 1-3 kepada pasukan itu di dalam saingan Piala Sultan Johor 2017 petang tadi di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Kekalahan itu bagaimanapun tetap mengekalkan kedudukan pasukan remaja negara di kedudukan keempat kumpulan sekaligus akan bertemu India yang berkedudukan tempat ketiga kejohanan ini.

Pasukan Australia yang memburu kemenangan untuk layak ke final Piala Sultan Johor nyata garang sejak awal perlawanan. Dalam suku pertama permainan, mereka berjaya memperoleh tiga pukulan sudut penalti tetapi tidak berjaya disudahkan.

Namun ketika perlawanan suku pertama hampir ke penghujung, pengadil menghadiahkan penalti stroke kepada Australia dan ia berjaya disudahkan oleh Nanthanael Stewart pada minit ke-15 untuk mereka di depan 1-0.

Pasukan negara juga berjaya mendapatkan beberapa pukulan sudut penalti selepas itu namun ianya gagal dimanfaatkan oleh Firdaus Omar menjadikan kedudukan 0-1 itu kekal sehingga separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Australia terus selesa apabila berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-33 perlawanan. Jacob Anderson berjaya menolak masuk gol padang untuk Australia berada di depan dengan dua gol sehingga tamat suku ketiga.

Di suku keempat, pemain muda negara berjaya merapatkan kedudukan kepada 2-1 apabila Muhammad Abu Kamal menolak masuk gol padang yang cantik pada minit ke- 51. Gol itu memberikan semangat untuk pasukan negara terus menyerang selepas itu.

Apapun, penalti stroke yang diperoleh Australia tiga minit sebelum perlawanan tamat menghalang terus kebangkitan pasukan negara. Ianya berjaya disudahkan Andrew Scanlon sekaligus membawa Australia ke final Piala Sultan Johor 2017 bertemu Great Britain.

Pengurus pasukan negara, Nor Saiful Zaini berkata, “Kita memberikan dua gol mudah kepada Australia melalui dua gol penalti stroke tadi. Ada pasukan yang gagal menembusi benteng Australia tetapi kita mempunyai beberapa peluang tadi cuma hanya berjaya menghasilkan satu gol.

“Pada lima minit terakhir perlawanan, pasukan kita juga banyak melakukan serangan tetapi kesilapan pertahanan sekali lagi menghadiahkan penalti stroke dan gol kepada pasukan lawan,” katanya selepas perlawanan.

Perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 akan berlangsung pada pukul 6.05 petang esok sementara final yang menemukan Great Britain dan Australia akan berlangsung pada sebelah malam.