Piala Sultan Johor 2017: Pemain Remaja Negara Akhiri Saingan Di Kedudukan Keempat

Pemain hoki remaja kebangsaan meraih kedudukan keempat saingan Piala Sultan Johor 2017 selepas tewas kepada India 4-0 dalam perlawanan klasifikasi tempat ketiga dan keempat di Stadium Hoki Taman Daya petang semalam.

Turun dengan misi untuk memburu kedudukan ketiga, anak buah Wallace Tan tidak berjaya membendung asakan pasukan India dan mereka mendahalui dua gol sejak suku pertama perlawanan. Dua gol padang awal pasukan India disudahkan oleh Vivek Prasad pada minit ke-11 diikuti Vishal Antil pada minit ke-15.

Pasukan remaja India berjaya menambah dua lagi gol dalam suku yang berikutnya. Kedua-duanya juga menerusi gol padang hasil tolakan Shilanand Lakra pada minit ke-21 dan Vishal Antil melengkapkan kemenangan pasukannya menerusi satu lagi gol pada minit ke-25.

Bersambung babak kedua, pasukan negara cuba bangkit menerusi beberapa asakan dan serangan berbahaya ke arah pintu gol pasukan India namun tidak berjaya menemui penyudah menyaksikan kedudukan 4-0 itu kekal sehingga akhir perlawanan.

Ketua jurulatih remaja negara, Wallace Tan berkata, “Gol pada separuh masa pertama itu telah menyukarkan pasukan kita. Apapun kita kembali memperkemaskan rentak selepas babak kedua bermula dan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol. Sepatutnya 4-2 atau 4-3.

“Secara keseluruhan, ada peningkatan daripada pemain. Mereka belajar dan meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Ianya sesuatu yang bagus untuk pemain dan mereka perlu meningkatkan corak permainan mereka secara berterusan,” katanya.

Australia muncul juara Piala Sultan Johor 2017 selepas mengatasi Great Britain dengan jaringan 2-0 dalam aksi final yang juga berlangsung semalam.