
Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah nyata tidak terkesan dengan perlawanan yang ditangguhkan semalam ekoran hujan lebat dan terpaksa bermain suku terakhir perlawanan hari ini selepas memastikan kemenangan 8-0 keatas Singapura pada aksi kedua Kumpulan A, Piala Asia Wanita 2017 di Kawasaki Green Stadium, hari ini.
Kesemua lapan jaring yang dihasilkan oleh skuad negara adalah menerusi lima jaringan padang dan tiga jaringan pukulan sudut penalti.
Pada perlawanan semalm pintu gol anak buah David Viner mula dirobek oleh skuad negara pada penghujung suku pertama bermula dengan jaringan padang Fatin Shafika Sukri pada minit ke-13 dan berselang seminit kemudian giliran Surizan Awang Noh untuk memastikan suku pertama berakhir dengan Malaysia selesa di hadapan 2-0.
Memasuki suku kedua, skuad negara meneruskan pesta gol mereka kali ini bermula pada minit ke-19 apabila Nuraslinda Said bijak untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti dan seterusnya dua lagi gol terhasil menerusi jaringan padang Hanis Nadiah Onn dan Nuraini Rashid pada minit ke-25 dan 28 untuk Malaysia menamatkan aksi separuh masa pertama dengan jauh meninggalkan Singapura 5-0.
Tiga minit selepas bersambung suku ketiga, pintu gol Singapura terus menjadi sasaran skuad negara kali ini gol keenam muncul selepas Nuraslinda sekali lagi tidak mempersiakan peluang untuk menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini menerusi gerakan padang.
Berselang tiga minit kemudian, Malaysian Tigress terus-terusan menggunakan kelebihan pukulan sudut penalti untuk melebarkan sayap mereka dan kali ini Norbaini Hashim muncul selaku penjaring ketujuh negara dan aksi suku ketiga ditutup dengan Malaysia jauh meninggalkan Singapura 7-0.
Perlawanan suku keempat yang bersambung hari ini menyaksikan Malaysian Tigress menambah satu lagi jaringan menerusi jaringan padang Norbaini pada minit ke-59 yang juga merupakan jaringan tunggal untuk perlawanan hari ini, sekaligus Malaysian Tigress menewaskan Singapura 8-0.
Malaysian Tigress akan turun beraksi bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan A pada esok, Selasa (31 Oktober 2017) menentang India jam 1.30 petang waktu Malaysia dan perlawanan tersebut akan menentukan kedudukan skuad negara dalam kumpulan serta lawan yang menanti di peringkat suku akhir.