Selepas menghuni tangga ketiga Kumpulan A, pasukan hoki wanita kebangsaan yang turun menentang pasukan Jepun selaku naib juara Kumpulan B dalam perlawanan suku akhir Piala Asia Wanita 2017 yang berlangsung hari ini terpaksa akur tewas 0-2 sekaligus menutup impian mereka untuk beraksi di saingan separuh akhir.

Pasukan Jepun yang berada pada ranking kesebelas dunia berjaya diikat pasukan negara dengan kedudukan seri tanpa jaringan pada suku pertama dan kedudukan 0-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, suku keempat perlawanan mengubah keputusan kedua-dua pasukan di mana ketika perlawanan memasuki minit ke-48, pasukan Jepun berjaya menjaringkan gol pertama melalui gol padang Natsuha Matsumoto.

Malaysian Tigress cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi gol kedua Jepun seminit sebelum perlawanan berakhir melalui gol padang Ayane Hirahara terus menidakkan semangat kebangkitan pemain-pemain negara.

Dalam pada itu, Jurulatih Pasukan Kebangsaan Wanita, Muhammad Dharmaraj Abdullah memuji sikap bersaing yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya pada tiga suku perlawanan selain akur dengan kesilapan pemain pada suku keempat menghukum mereka dengan dua jaringan daripada pihak lawan.

“Kita bermain dengan begitu bagus untuk tiga suku pertama dan tidak memberi ruang kepada pasukan Jepun untuk mencipta percubaan.

“Pada suku keempat, pasukan Jepun berjaya menjaringkan gol pertama diatas kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan kita. Pemain juga keletihan disebabkan kita menggunakan pemain yang sama untuk tempoh yang lama.

“Apabila pasukan Jepun berjaya menjaringkan gol, kesemua pemain mara ke hadapan untuk mencari gol penyamaan dan berjaya mendapatkan satu pukulan sudut penalti. Namun, kita mensia-siakan peluang tersebut dan sebaliknya pasukan Jepun berjaya membuat serangan balas ketika semua pemain kita berada di kawasan mereka.

“Kita perlu mendapat ketenangan dari kekecewaan ini. Semua pemain akan berehat pada hari esok dan kita akan fokus untuk mendapat tempat ke-5,” ujarnya ketika dihubungi.

Malaysia akan membuat perhitungan dalam perlawanan klasifikasi tempat ke 5 hingga 8 pada hari Sabtu ini bertemu pasukan Kazakhstan.