TNB Piala Tun Abdul Razak 2017: Pulau Pinang Sekat Hajat Terengganu Untuk Raih Mata Penuh

Impian juara bertahan, Terengganu untuk mencari tiga mata penuh pada perlawanan pertama TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 tidak berkesampaian apabila lawan mereka Pulau Pinang bangkit untuk mengikat kedudukan 4-4 walaupun Pulau Pinang pada satu ketika ditinggalkan Terengganu dalam aksi Kumpulan A, Divisyen Satu yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak, hari ini.

Terengganu turun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-26 apabila kelebihan dua pukulan sudut penalti berturut-turut yang dimiliki oleh mereka akhirnya berjaya dimanafaatkan oleh Faizal Saari menerusi pukulan kedua untuk meletakkan Terengganu dihadapan 1-0.

Minit ke-37 menyaksikan Terengganu terus meluaskan jurang jaringan apabila kali ini giliran Muhammad Amirul Mirza Rozi untuk mencatat nama selaku penjaring sekaligus menjadikan kedudukan 2-0.

Pulau Pinang bagaimanapun berjaya untuk membolosi pintu gawang Terengganu pada minit ke-52 apabila Muhammad Haikal Abdul Muthalib bijak untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Tersentak dengan jaringan Tersebut, Terengganu menggandakan asakan dan hasilnya mereka berjaya untuk meledak dua gol pada minit ke-53 menerusi Nik Muhammmad Aiman Nik Rozemi dan Faizal Saari menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-54.

Semangat tidak berputus asa ditunjukkan oleh Pulau Pinang untuk terus bangkit daripada ketinggalan 4-1 apabila menjaringkan dua gol berturut-turut pada minit ke-55 dan 56 hasil pukulan sudut penalti Amirul Mirza Rozi dan jaringan padang Mohammad Rashid Baharom untuk mengubah kedudukan kepada 4-3.

Bagaimanapun dua minit sebelum tamat perlawanan sebenar, Amirul Mirza Rozi berjaya untuk menyekat impian Terangganu untuk mengutip tiga mata penuh apabila dia menjaringkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti dan perlawanan berakhir dengan kedudukan 4-4.

Dalam satu lagi aksi Divisyen Satu yang turut berlangsung hari ini menyaksikan Melaka dan Kuala Lumpur turut terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila keputusan perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-44 dan 45 menerusi jaringan padang Ismail Abu dan pukulan sudut penalti Muhammad Firdaus Omar.

Ketinggalan 0-2 tidak melemahkan semangat Kuala Lumpur untuk bangkit mengikat kedudukan menerusi dua jaringan padang Muhammad Aslam Mohamed pada minit ke-58 dan 59 sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri.

Lain-Lain Keputusan (4 November 2017)
Divisyen 2 Group A: Pahang 6-1 Kelantan dan Selangor 5-0 Thailand

Jadual perlawanan esok (5 November 2017)
Divisyen Satu (Group B)
8.00 Malam, Padang 1: Perak mln Negeri Sembilan
8.00 Malam, Padang 2: PDRM mln Johor

Divisyen Dua (Group A)
4.00 Petang, Padang 1: Indonesia mlm Kelantan
6.00 Petang, Padang 1: Pahang mln Selangor

Divisyen Dua (Group B)
4.00 Petang, Padang 2: Perlis mln Singapura
6.00 Petang, Padang 2: ATM mln Kedah

Recent Posts

Leave a Comment