Malaysian Tigress Tewaskan Thailand 4-0 Untuk Duduki Tempat Kelima

KAKAMIGAHARA (5 November 2017): Pasukan hoki wanita kebangsaan menamatkan saingan Piala Asia Wanita 2017 di kedudukan kelima setelah mengatasi Thailand 4-0 dalam perlawanan penentuan tempat ke 5/6 sebentar tadi.

Mereka bermula garang sejak suku pertama lagi apabila kerap kali mengancam kubu lawan dengan serangan berbahaya. Usaha Malaysian Tigress membuahkan hasil sejak minit ke-6 apabila Norfaiezah Saiuti menolak gol pertama pasukan negara menerusi gol padang.

Selang enam minit kemudian, kedudukan Malaysia terus kukuh apabila gol kedua berjaya dihasilkan. Kali ini giliran Nuraini Rashid berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk Malaysia mendahului 2-0. Keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Malaysia terus tidak bermasalah untuk menguasai permainan di separuh masa kedua. Mereka terus melebarkan jurang jaringan kepada 3-0 apabila mendapat satu lagi gol pada minit ke-45 hasil jaringan gol padang daripada Hanis Onn.

Di suku terakhir perlawanan, Malaysia berjaya mencatat satu lagi gol hasil daripada pukulan sudut penalti yang disudahkan sekali lagi oleh Nuraini Rashid pada minit ke-58. Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan anak buah Muhammad Dhaarma Raj menduduki tempat kelima kejohanan ini.

Recent Posts

Leave a Comment