Kemenangan 4-0 ke atas lawan masing-masing membawa Selangor dan Perlis ke pentas final Divisyen Dua TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh Perak, sekaligus membuka peluang buat kedua-dua pasukan untuk merebut slot beraksi di Divisyen Satu musim 2018.
Pahang yang tewas 4-0 kepada Perlis akan turun membuat perhitungan dengan ATM yang turut tewas 4-0 kepada Selangor bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Aksi di separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan Selangor dan ATM cuba untuk mencari jaringan menerusi permainan laju yang ditampilkan namun sayangnya mereka gagal untuk memecah kebuntuan walaupun beberapa gerakan dilihat mampu untuk menjelamakan jaringan.
Skuad bimbingan Mohamad Amin Rahim akhirnya berjaya untuk memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-41 dan 43 menerusi kapten pasukan, Faridzul Afiq Mohd yang bijak untuk menggunakan ruang dan kedudukan tidak dikawal untuk meledak dua gol dalam tempoh dua minit.
Lima minit sebelum tamat masa perlawanan sebenar, Selangor menjaringkan gol ketiga perlawanan dan seterusnya memastikan tempat mereka di pentas akhir selepas Nazirul Mubin Zebidi menyudahkan bola lantunan penjaga gol ATM, Mohd Khairul Afendy Kamarulzaman ketika mahu menyelamatkan pintu gol mereka daripada terus dibolosi.
Selangor dilihat seakan tidak berpuas hati dengan tiga jaringan yang telah dihasilkan meledak satu lagi gol disaat perlawanan hanya berbaki beberapa saat untuk wisel penamat ditiupkan menerusi gol padang Ahmad Hariz Syazani Ezani dan kedudukan 4-0 mengakhiri perlawanan.
Dalam satu lagi penentuan ke perlawanan akhir yang berlangsung diantara Perlis dan Pahang, Perlis tidak berdepan masalah untuk mara ke final selepas dua jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil pada minit ketujuh dan kesembilan, jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-27 dan pemain muda Perlis, Kamaruddin Kodir Beraheng pada minti ke-48 tidak mampu dicabar oleh Pahang.
Selangor dan Perlis akan membuat perhitungan pada Ahad, (12. November 2017) jam 6.00 petang di padang dua bagi merebut takhta juara Divisyen Dua, sekaligus membawa pulang wang tunai RM 5,000.
Lain-lain keputusan hari ini (9 November 2017) :
Klasifikasi lima hingga lapan (Divisyen Dua)
Kelantan 2-3 Singapura dan Kedah 4-5 Indonesia
Klasifikasi lima hingga lapan (Divisyen Satu)
Pulau Pinang 3-2 PDRM dan Johor 2-6 Kuala Lumpur
Berikut merupakan jadual perlawanan esok (11 November 2017) :
Penentuan tempat ketujuh dan lapan
Divisyen Satu: 4.00 petang, padang 1, PDRM mln Johor
Divisyen Dua: 4.00 petang, padang 2, Kelantan mln Kedah
Penentuan tempat kelima dan keenam
Divisyen Satu: 8.00 malam, padang 2, Pulau Pinang mln Kuala Lumpur
Divisyen Dua: 6.00 petang, padang 2 Singapura mln Indonesia
Separuh akhir Divisyen Satu
6.00 petang, padang 1: Perak mln Melaka
8.00 malam, padang 1: Terengganu mln Negeri Sembilan









