TNB Piala Tun Abdul Razak 2017: Buku Bertemu Ruas Di Pentas Final Divisyen Satu

Ibarat buku bertemu ruas kedua-dua pasukan pilihan, Perak dan Terengganu bakal membuat perhitungan di pentas final TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 bagi divisyen satu yang akan berlangsung esok di Stadium Hoki Azlan Shah Ipoh Perak selepas Perak menewaskan Melaka 2-1 menerusi penentuan shoot-out dan Terengganu menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada 60 minit perlawanan yang berlangsung hari ini.

Negeri Sembilan yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-26 tidak mempersiakan kelebihan tersebut apabila Dangerous Lee Mathew bijak untuk menterjemahkannya kepada jaringan dan meletakkan Negeri Sembilan dihadapan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Terengganu terus menggandakan asakan dan melakukan beberapa percubaan untuk kembali mengikat kedudukan dan usaha itu berhasil apabila mereka memperolehi kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-42 dan Faizal Saari bertindak cemerlang melakukan flik menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, S. Kumar.

Tiga minit selepas gol penyamaan terhasil, Terengganu sekali lagi menerusi Faizal Saari meledak gol kedua untuk meletakkan mereka dihadapan 2-1.

Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dan Terengganu bakal turun pada perlawanan akhir untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi oleh mereka tahun lalu.

Terdahulu tuan rumah Perak yang turun selaku pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir bertemu dengan Melaka terpaksa menunggu sehingga penentuan shoot-out untuk memastikan kemaraan mereka ke pentas final apabila menewaskan Melaka 2-1 dalam penentuan tersebut selepas perlawanan sebenar tamat 0-0.

Penjaga gol Perak, Roslan Jamaluddin muncul wira dalam kemaraan Perak ke pentas akhir selepas menyelamatkan lima daripada enam pukulan penalti shoot-out.

Jaringan Muhammad Haziq Samsul ketika penentuan shoot-out mengikat kedudukan 1-1 selepas Muhammad Ashraf Zuhry Mahat terlebih dahulu menjaringkan gol untuk Melaka.

Bagaimanapun, ketika shoot-out kalah mati berlangsung, Melaka gagal untuk menambah sebarang gol dan Haziq Samsul menyelamatkan maruah tuan rumah apabila menewaskan penjaga gol Melaka Mohd Hanafi Hassa untuk menjadikan kedudukan 2-1 sekaligus membawa Perak ke pentas akhir bertemu juara bertahan, Terengganu.

Lain-lain keputusan hari ini (11 November 2017) :

Penentuan tempat ketujuh dan lapan
Divisyen Satu: PDRM 3-3 Johor (Shoot-Out: PDRM 1-3 Johor) PDRM jatuh ke Divisyen Dua musim 2018.
Divisyen Dua: Kelantan 3-2 Kedah (Kelantan di kedudukan ketujuh dan Kedah di tangga terakhir)

Penentuan tempat kelima dan keenam
Divisyen Satu: Pulau Pinang 1-4 Kuala Lumpur (Kuala Lumpur di tempat kelima manakala Pulau Pinang di tempat keenam)
Divisyen Dua: Singapura 1-1 Indonesia (Shoot-Out: Singapura 4-1 Indonesia) Singapura di kedudukan kelima dan Indonesia di tangga keenam.

Berikut merupakan jadual perlawanan esok (12 November 2017) :

Divisyen Dua
Penentuan Tempat Ke-3 dan Ke-4
4.00 Petang, Padang 2: ATM mln Pahang
Penentuan Juara
6.00 Petang, Padang 1: Selangor mln Perlis

Divisyen Satu
Penentuan Tempat Ke-3 dan Ke-4
6.00 Petang, Padang 2: Melaka mln Negeri Sembilan
Penentuan Juara
8.30 Malam, Padang 1: Perak mln Terengganu